Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 3 Mac – Seramai 75 orang pelajar dari lima buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah di Daerah Belait yang telah dikenal pasti untuk menyertai Projek Kelas Tuisyen Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah PJN Pengiran Abu Bakar, di sini.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan bacaan Doa Selamat dan ucapan alu-aluan Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa.
Pada majlis itu, penerangan mengenai projek tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Pengetua Sekolah Rendah Yayasan, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali dan ceramah motivasi pula disampaikan oleh Pemangku Pengarah Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.
Projek Kelas Tuisyen PIP merupakan inisiatif Yayasan dengan hasrat untuk membentuk masyarakat yang berpendidikan dan berilmu serta mempunyai daya saing dan bermotivasi.


Ia juga adalah bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang dapat mencegah lingkaran kebergantungan kepada bantuan kebajikan dan bagi menyatukan peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi berkaitan dalam sama-sama berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.
Golongan sasar bagi projek berkenaan terdiri daripada anak-anak daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yang mempunyai pencapaian lemah dalam pelajaran dan memerlukan bimbingan bagi memperbaiki pencapaian pelajaran mereka supaya dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Usaha tersebut adalah kerana menyedari bahawa pencapaian cemerlang anak-anak dalam bidang pendidikan memainkan peranan penting dalam memperbaiki taraf kehidupan golongan yang kurang berkemampuan.