Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Jabatan Penjara kelmarin telah mengadakan Taklimat Program Latihan dan Penempatan Kerja bagi penghuni dalam peringkat prabebas yang berlangsung di Institusi Penjara Wanita Jerudong.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh wakil-wakil daripada Jawatankuasa Aftercare (PROTEM) Brunei Darussalam, RH Amanina, Riza Group dan Seantaro Services yang telah berkolaborasi dalam Program Rakan Seliaan (Aftercare).
Dengan adanya kolaborasi ini, para peserta program rakan seliaan akan berpeluang untuk diberikan latihan dan penempatan kerja dalam bidang atau sektor perusahaan yang bersesuaian yang akan dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan pendapatan apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Sasaran jangka pendek program ini adalah bagi memberikan mereka sumber pendapatan untuk memenuhi keperluan aspek kehidupan dan asasi kepada mereka serta keluarga dan seterusnya supaya mereka mampu berdikari dan turut menyumbang kepada perekonomian dan kesejahteraan masyarakat.
Program ini juga merupakan kerjasama antara Bahagian Reintegrasi, institusi-institusi di bawah Jabatan Penjara dan pihak badan-badan bukan kerajaan di mana dihasratkan lebih ramai lagi yang akan menyertai program berkenaan bagi membantu mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

