BEIJING, 15 OGOS – Seorang warga emas di China sanggup memohon cerai daripada isterinya selepas jatuh cinta dengan model maya yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI).
Menurut laporan Beijing Daily, lelaki berusia 75 tahun dikenali sebagai Jiang itu mula berkenalan dengan avatar perempuan ciptaan AI ketika melayari media sosial. Bagi mata manusia normal, avatar tersebut jelas rekaan komputer, namun Jiang menyangka ia seorang gadis sebenar yang gemar berbual dengannya.
Difahamkan, gerakan bibir dan suara yang tidak selaras tidak menghalang Jiang daripada terus berhubung dengan ‘kekasih maya’ itu. Malah, dia menjadi taksub hingga menjadikan mesej generik harian daripada avatar berkenaan sebagai paling menggembirakan hari-harinya.
Ketika dimarahi isteri kerana terlalu lama menggunakan telefon, Jiang dilaporkan menyatakan hasrat untuk menceraikannya demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada avatar tersebut.
Memetik laporan Oddity Central, bagaimanapun, anak-anaknya berjaya menyedarkan Jiang dengan menerangkan fungsi dan realiti teknologi AI, sekali gus menyedarkannya wanita maya itu tidak wujud di dunia sebenar.
Kes seperti ini bukan luar biasa di China, khususnya dalam kalangan warga emas yang kesunyian atau menghadapi masalah perge-rakan. Golongan tersebut semakin terdedah kepada kandungan AI yang semakin realistik, termasuk watak berpakaian korporat, pengacara berita maya dan pelajar perempuan yang comel, yang dicipta untuk memenuhi pelbagai keperluan emosi. – Agensi


