Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taksub filem seram, lelaki Poland dihukum penjara seumur hidup

    LONDON, 30 MAC – Seorang lelaki Poland yang taksub dengan filem seram telah dipenjarakan seumur hidup Jumaat lalu di United Kingdom kerana membunuh dan memisahkan bahagian badan mayat pemilik tanah dengan memotongnya kepada 27 bahagian menggunakan gergaji besi.

    Mahkamah Mahkota Manchester dimaklumkan, Marcin Majerkiewicz, 42, memukul rakannya, pesara Stuart Everett, 67, dengan tukul, sehingga mati pada 28 Mac tahun lalu.

    Dia kemudian melupuskan mayat Everett dengan memasukkan bahagian yang dipotong ke dalam beg plastik dan membawanya ke dalam bas, kemudian membuat beberapa perjalanan merentasi Salford dan Manchester di barat laut England untuk melenyapkan bukti.

    Dada Everett ditemui di rizab Salford oleh orang awam. Tetapi sebahagian besar badannya masih hilang.

    Polis berkata, pembunuh itu taksub dengan perkara seram dan keganasan, serta mempunyai tatu Jason Voorhees, seorang pembunuh fiksyen dari filem seram Friday the 13th.

    “Dia bertindak dengan cara yang kejam, mengerikan dan menunjukkan rasa tidak hormat serta penghinaan sepenuhnya terhadap mayat rakannya,” kata Hakim John Cavanagh.

    Hakim berkata, Majerkiewicz telah berhutang lebih daripada £70,000 (32,300 euro) dan telah merancang untuk mencuri wang Everett.

    Bapa kepada dua anak, Majerkiewicz telah menafikan pertuduhan itu, tetapi didapati bersalah oleh juri selepas perbicaraan selama tiga minggu.

    Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, dan diperintahkan untuk menjalani hukuman minimum 34 tahun. – AFP

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda