TAWAU, 30 JULAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, bekerja keras memastikan sebarang taktik atau cubaan melakukan jenayah rentas sempadan, seperti kegiatan penyeludupan dalam kawasan perairan negeri, digagalkan.
Komandernya, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pada masa ini kesemua elemen serta aset dalam PPM digerakkan ke arah membanteras jenayah rentas sempadan.
“Misalnya, hasil bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini PPM merekodkan tangkapan 84 kes, melibatkan Akta Kastam 1967 serta Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai rampasan RM13,041,943.40. “Bagi tempoh tahun lalu, PPM berjaya merampas barangan seludup bernilai RM18 juta, serta menahan 1,439 individu,” katanya kepada Bernama. – Bernama