Pelakon Mira Filzah, 32, tetap dengan pendirian tidak memberi komen terhadap isu curang walaupun membabitkan penceritaan drama terbaharu lakonannya, Curang Tanpa Niat.
Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia tidak berani komen isu curang yang terkait dengan pasangan dan rumah tangga itu.
“Dengar tajuk drama ini, Curang Tanpa Niat pun sudah menakutkan. Sebab, boleh ke curang itu dilakukan tanpa niat? Umpama, tidak sengaja atau mungkin kebetulan.
“Secara umumnya, saya tidak pernah berada dalam kedudukan atau situasi itu (pasangan curang). Tetapi, perkara sebegini pasti membabitkan dua pihak, takutlah nak komen,” katanya kepada Harian Metro.
Mira kini muncul dengan drama Curang Tanpa Niat arahan Eyra Raman sebanyak 34 episod, disiarkan Astro Ria, jam 10 malam mulai Selasa lalu terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd.
Ujar Mira lanjut, cabaran dihadapinya itu bukan sahaja dari segi emosi, tetapi psikologi perlu ditangani dengan tenang dan mengikut cara tersendiri.
“Watak Elina dalam drama Curang Tanpa Niat ini memang memberi cabaran berat kepada saya sebab kena banyak bermain emosi dan psikologi serentak.
“Elina adalah seorang true lover (pencinta sejati) yang percaya seumur hidupnya akan jatuh cinta pada seorang lelaki sahaja. Dia (Elina) juga penuh sifat keibuan, penyayang dan pemaaf walaupun selalu jadi sasaran orang berniat buruk termasuk suaminya.
“Terus-terang, saya sendiri tengok watak Elina memang kasihan dengan kehidupannya selepas berkahwin dan ada anak yang membuatkannya sangat ‘simple’, rileks dan tak bersiap sebab suri rumah sepenuh masa,” katanya. – Agensi
