Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talam unik mampu hias meja makan

    Oleh Amri HTZ

    Pelbagai cara sering digunakan untuk menghias meja makan dengan kebiasaannya kehadiran lilin dijadikan suatu kemestian. Menggantikannya dengan perhiasan jenis lain setentunya mampu menyerikan meja makan terutamanya sesuatu luar kebiasaan seperti talam kayu berukuran panjang sebagai alas meletakkan makanan.

    Untuk memilikinya, ikuti projek mereka talam kayu perhiasan yang cukup mudah dan boleh dilakukan sendiri ini.

    Barangan yang perlu disediakan

    Bagi mereka talam kayu yang akan dijadikan sebagai perhiasan meja makan ini, beberapa barangan perlu disediakan sebelum memulakan projek seperti sekeping papan dengan lebar lebih kurang 14 inci dan panjang 3 kaki, mesin pemotong kayu bulat (circular saw) atau gergaji tangan, pita pengukur, pensel penanda, leveller, pahat kayu, ketam kayu manual, mesin ketam kayu, gam lut sinar, gerudi, mata gerudi berukuran 2mm, gagang pintu almari, rubber feet bumper berbentuk bulat, beeswax, wood oil dan kertas pasir berukuran 800, 1,000, 1,500 dan 2,000 grit.

    Langkah-langkah pembuatan

    Sebelum memulakan projek rekaan, pastikan papan yang digunakan mempunyai dua tona di mana pada bahagian tengah papan mempunyai warna yang lebih gelap daripada bahagian sisinya. Ini tidaklah perlu mengira sama ada ia daripada kayu berwarna hitam, kemerah-merahan atau kuning. Apa yang penting, bahagian sisi kayu mempunyai warna yang lebih cerah agar talam penghias yang direka tampak sangat menarik.

    Bagi langkah pertama pembuatan, papan yang telah tersedia akan dipotong dengan panjang sekurang-kurangnya 3 kaki. Sebagai pengetahuan, papan dengan permukaan sisi yang masih asli akan digunakan dalam projek ini. Dengan permukaan sisi yang belum terpotong atau diratakan, ia mampu memberikan kelainan kepada rekaan sesuai dengan tema ‘Live Edge’ projek ini.

    Bahagian sisi permukaan kayu di mana permukaan yang terlalu kasar atau kurang elok akan diratakan menggunakan pahat kayu.
    Rekahan yang terdapat pada permukaan kayu boleh ditutupkan menggunakan gam lut sinar yang kemudiannya digosok dengan kertas pasir.
    Langkah memasangkan gagang dan rubber feet bumper pada bahagian bawah talam.
    Sapu permukaan kayu menggunakan wood oil atau beeswax bagi melindungi permukaan kayu.
    Proses menandakan kedudukan di mana gagang akan diletakkan.

    Untuk awda yang lebih memilih mendapatkan papan yang dipotong sendiri, penggunaan mesin bandsaw atau gergaji rantai mampu mereka kepingan papan yang diperlukan. Dengan hanya menetapkan kedudukan guide dari mata mesin bagi ketebalan papan, awda hanya perlu menyorongkan potongan kayu (log) dengan bantuan seseorang bagi menampung beratnya.

    Sementara bagi penggunaan gergaji rantai, hasil akhir setentunya akan memberikan permukaan potongan yang kasar namun boleh dihaluskan dengan menggunakan ketam kayu pada langkah seterusnya.

    Setelah memotongkan papan dengan panjang yang diperlukan, permukaan papan akan diratakan menggunakan ketam kayu. Langkah ini perlu dilakukan terutamanya bagi mereka yang mendapatkan papan dengan cara dihasilkan sendiri iaitu dari pemotongan menggunakan bandsaw dan gergaji rantai.

    Buangkan permukaan sedikit demi sedikit dan gunakan leveller untuk memastikan keseluruhan permukaan sama rata. Selain menggunakan leveller, dengan menggunakan sebatang besi atau aluminium yang rata sebagai panduan dengan meletakkannya pada permukaan kayu juga boleh menghasilkan hasil akhir yang sama.

    Bagi anda yang memiliki mesin ketam kayu auto feed, ia sangat mudah mendapatkan permukaan yang betul-betul rata. Dengan hanya memasukkan kayu pada bahagian ruangan khusus, ia hanya perlu dimasukkan dengan hanya perlu menetapkan tebal permukaan kayu yang perlu dibuangkan.

    Setelah meratakan permukaan atas dan bawah papan, permukaan kayu perlu digosok menggunakan kertas pasir. Penggunaan kertas pasir adalah bagi menghaluskan lagi permukaan selain menimbulkan ira-ira kayu. Mulakan proses menggosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir 800 grit dikuti dengan yang lebih halus seperti 1,000, 1,500 dan 2,000 grit.

    Langkah seterusnya ialah menebuk kedua-dua bahagian hujung kayu bagi menempatkan gagang untuk memudahkan ia diangkat selain sebagai penghias. Tandakan kedudukan tengah bahagian hujung kayu kedua-dua sudut kemudian ukur panjang kedudukan lubang skru gagang yang digunakan.

    Setelah mendapatkan ukuran gagang tersebut, bahagi ukuran tersebut kepada dua di mana ukuran yang telah dibahagikan itu kemudiannya akan menentukan kedudukan di mana lubang akan ditebuk. Untuk jarak bahagian hujung kedudukan gagang, jarak 2” akan digunakan.

    Manakala bagi memastikan talam penghias tersebut tidak mudah bergerak ketika diletakkan di atas meja makan, pada bahagian bawah kayu akan dipasangkan dengan rubber feet bumper berbentuk bulat. Sebelum mengekalkan kedudukannya menggunakan skru pada kedudukan 1 ½” daripada bahagian sisi dan hujung kayu, tebuk permukaan kayu dengan kedalaman 1sm di keempat-empat sudut.

    Sebelum memasangkan gagang dan rubber feet bumper, sapu permukaan kayu menggunakan wood oil atau beeswax.

    Kegunaan kedua-dua bahan ini adalah untuk melindungi permukaan kayu daripada kelembapan seperti air agar kayu mampu bertahan bertahun-tahun lamanya. Selain itu, setelah disapukan pada permukaan kayu, ia akan menimbulkan lagi ira-ira kayu yang terdapat padanya.

    Langkah terakhir ialah memasangkan gagang talam dan rubber feet bumper pada bahagian bawah papan. Dengan ini, hanya perlu menyesuaikan jenis makanan yang perlu diletakkan di atasnya sebelum menjemput tetamu menikmati jamuan selain berkongsi proses rekaan dan ‘menikmati’ hasil rekaan tersendiri!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda