Oleh Syahmi Hassan –
Projek DIY ini memaparkan cara untuk menghasilkan alas cawan bersimpul gaya lama yang diinspirasikan daripada hasil tangan pelaut tradisional.
Dengan hanya menggunakan tali kapas dan sedikit kesabaran, awda boleh mencipta alas cawan unik yang tahan lama dan menarik.
Selain digunakan sebagai alas gelas atau cawan, corak simpulan ini juga boleh diperbesar untuk dijadikan alas pasu atau alas meja mini, bergantung kepada kreativiti masing-masing.
Bahan-bahan yang diperlukan:-
• Tali kapas berpintal 3mm (disyorkan jenis semula jadi)
• Corak simpulan (boleh diperoleh dalam talian atau rujuk Ashley’s Book of Knots)
• Gunting
• Pita pelekat
• Gam putih
• Papan alas untuk mencucuk pin (papan gabus berlapis atau papan buih dengan lapisan busa pembungkusan)
• Pin atau cangkuk cetakan 3D untuk memegang tali (pilihan) (Gambar 1)
MULAKAN CORAK SIMPULAN
Untuk corak ini, sediakan tali sepanjang 160 inci. Adalah lebih mudah untuk bermula dari bahagian tengah tali. Ikuti corak yang disediakan dan susun tali mengikut urutan atas dan bawah sebagaimana ditunjukkan.
Awda boleh menanda laluan ‘atas’ pada corak dengan warna lebih gelap untuk memudahkan panduan.
Gunakan pin untuk menahan tali agar kekal kemas sepanjang proses. (Gambar 2 & 3)
LANJUTKAN CORAK SIMPULAN
Teruskan melilit tali mengikut corak sehingga satu pusingan lengkap. Pastikan setiap lilitan berada di kedudukan yang betul, sama ada di atas atau di bawah seperti yang ditunjukkan dalam panduan.
Selepas satu pusingan lengkap, simpulan akan mula membentuk corak berulang secara automatik – atas, bawah, atas dan seterusnya. (Gambar 4)
ULANGI LILITAN UNTUK BEBERAPA PUSINGAN
Gunakan baki tali dari hujung pertama untuk menyambung lilitan. Kemudian, sambung hujung satu lagi sehingga alas cawan mempunyai empat hingga lima lapisan lilitan lengkap.
Pastikan tali tidak bertindih dengan tali selari. Awda disarankan untuk melilit dengan berhati-hati dan menggunakan pin hanya jika perlu agar tidak mengganggu laluan simpulan. (Gambar 5, 6 & 7)
KEMASKAN CORAK DAN LILITAN
Setelah lilitan lengkap, perhatikan bahagian longgar atau renggang pada corak. Tarik perlahan-lahan tali dari satu bahagian ke bahagian lain untuk mengetatkan simpulan dan merapatkan laluan tali.
Pastikan setiap bahagian tali terletak kemas dan rata di sisi lilitan sebelumnya. (Gambar 8)
SELESAIKAN HUJUNG TALI
Satukan kedua-dua hujung tali pada satu bahagian simpulan. Jika ada empat lilitan, akan kelihatan lima di tempat pertemuan. Potong lebihan tali dan urai sedikit pada kedua-dua hujung.
Basahkan hujung tali dengan gam putih, kemudian putar semula supaya gam meresap ke dalam serat tali. Letakkan hujung tali itu dengan kemas di sisi tali selari dan biarkan kering. Awda boleh menggunakan kertas lilin dan pemberat untuk menahan posisi semasa proses pengeringan. (Gambar 9 & 10)
HASIL AKHIR ALAS CAWAN
Setelah kering sepenuhnya, terbalikkan alas cawan dan tekan rata tali di bahagian belakang. Selepas beberapa kali digunakan, bentuknya akan menjadi lebih kemas dan rata. (Gambar 11)
Awda boleh mengubah saiz dan corak mengikut keperluan – sama ada untuk telefon bimbit, alas lilin, atau sekadar hiasan meja kopi.
Tip rekaan:
• Gunakan tali berwarna untuk mencipta corak kontras atau jalur
• Pilih bentuk bujur, bulat atau segi empat mengikut kegunaan
• Cuba hasilkan set alas cawan untuk dijadikan hadiah buatan tangan