Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tali sulam, tali pancing paling versatil

    Oleh Raz AS –

    Tali sulam ataupun braided line merupakan tali yang terawal sekali digunakan untuk memancing. Namun ia bukanlah tali yang sama seperti yang kita kenali pada masa kini, ia hanya tali biasa yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan alami seperti linen yang disulam bersama seperti mana tali-tali lainnya.

    Pada awalnya tali nilon, yang juga dikenali sebagai monofilament ataupun lebih dikenali sebagai tangsi dalam masyarakat kitani, yang dicipta pada tahun 1930an digunakan untuk menggantikan penggunaan tali sulam yang dianggap kurang sesuai digunakan untuk memancing.

    Namun, setelah banyak kajian dijalankan oleh para saintis terhadap bahan-bahan sintetik terhasillah tali sulam yang diperbuat daripada polyethylene, termasuk Spectra atau Dyneema, seperti yang kita ketahui sekarang yang nipis dan kuat, yang dianggap sebagai salah satu peralatan pancing yang paling inovatif dalam industri ini sejak beberapa dekad kebelakangan.

    Berbanding daripada tali pancing jenis lainnya, seperti monofilament atau fluorocarbon, tali sulam adalah tali pancing yang paling versatil penggunaannya yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi, teknik pancingan dan spesies buruan.

    Salah satu kelebihan yang ada pada tali sulam berbanding tali-tali lainnya adalah ketebalan diameternya yang nipis namun mempunyai kekuatan yang tinggi. Contohnya, tali sulam berjenama Daiwa J-Braid X4E berkekuatan 50lb dengan diameter 0.33mm adalah sama tebalnya dengan monofilament atau fluorocarbon biasa yang hanya mempunyai kekuatan 12lb sahaja.

    Tali sulam lapan sulaman dan ke atas lebih banyak digunakan di kawasan perairan yang lebih terbuka atau lebih sesuai digunakan bagi sesetengah teknik memancing yang khusus. – GAMBAR OLEH RAZ AS

    Diameternya yang kecil itu bukan sahaja akan memberikan pemancing kelebihan untuk mengisikan tali dengan lebih banyak ke dalam gelendung, bahkan ia juga, ditambah dengan sifatnya yang lebih lembut dan tanpa memori berbanding tali-tali lain dapat membantu meningkatkan jarak lontaran pemancing.

    Antara kelebihan lainnya, tali sulam mempunyai sifat sifar renggangan menjadikan ia sangat sensitif yang membolehkan pemancing mengesan getuan ikan dengan lebih mudah.

    Selain itu, ia juga dapat membantu pemancing menancapkan mata kail pada mulut ikan dengan lebih kemas meski pada spesies ikan yang mempunyai mulut yang keras.

    Selain itu, tali ini juga lebih tahan lama berbanding tali lainnya daripada rosak akibat terdedah kepada cahaya matahari dan air masin. Manakala ia juga tahan lelasan (abrasion), dan dengan menggunakan ikatan yang bersesuaian, kekuatan pada bahagian ikatannya juga adalah lebih baik.

    Meskipun mempunyai banyak kelebihan dan versatil namun ia juga mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diambil perhatian.

    Pertama sekali, meskipun kekurangan renggangannya menjadi faktor positif dalam pelbagai teknik pancingan namun tali sulam tidak begitu sesuai digunakan untuk tujuan menunda atau trolling. Ini kerana mulut ikan boleh sahaja terkoyak kerana ketiadaan serapan sentakan. Lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan tali terputus atau risiko joran patah.

    Kedua, tali sulam lebih kelihatan di dalam air dan berkemungkinan dapat menakutkan ikan yang sensitif.

    Walau bagaimanapun kedua-dua kekurangan ini dapat diatasi dengan menyambungkan tali perambut daripada jenis monofilament atau fluorocarbon, yang berfungsi sebagai penyerap sentapan dan pendekatan yang lebih ‘halimunan’.

    Ketiga, kerana kelembutan dan permukaannya yang licin, tali sulam lebih sukar untuk diikat dan memerlukan teknik ikatan yang bersesuaian bagi mengelakkan masalah ikatan terlucut.

    Kebanyakan teknik-teknik ikatan tersebut, contohnya bagi tujuan menyambungkan tali sulam dengan perambut adalah sedikit rumit dan memerlukan latihan untuk menguasainya.

    Akhir sekali, tanda harganya. Memandangkan proses pembuatan tali sulam menggunakan teknik yang rumit dan bahan yang lebih mahal, tentu sahaja harganya jauh lebih mahal berbanding tali pancing jenis monofilament dan flourocarbon.

    Dalam pemilihan tali sulam pula, ia terpulang kepada pemancing mengikut kesesuaian masing-masing. Secara amnya tali sulam didatangkan dalam jenis 4 atau 8 sulaman dan lebih. Semakin banyak tali disulamkan untuk menjadikannya lebih lembut, bulat dan halus permukaannya.

    Bagi tali sulam yang hanya mempunyai empat sulaman, bentuknya lebih leper dan permukaannya lebih kasar. Kebiasaannya tali sulam empat sulaman digunakan di kawasan yang mempunyai banyak rumpai kerana permukaannya yang kasar membolehkannya membelah tumbuhan dengan lebih mudah.

    Manakala lapan sulaman dan ke atas pula lebih banyak digunakan di kawasan perairan yang lebih terbuka di mana faktor lontaran lebih memainkan peranan kepada pemancing.

    Atau bagi sesetengah teknik memancing yang khusus di mana tali sentiasa keluar masuk melalui cincin joran, permukaan tali kasar boleh memendekkan jangka hayat cincin joran awda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda