Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talian Bantuan Anti-Penipuan 16993 dilancar hari ini

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan melancarkan Talian Bantuan Anti-Penipuan (Anti-Scam Helpline) 16993 yang mula beroperasi pada 30 Ogos jam 8 pagi.

    Menurut kenyataan PPDB, talian itu diwujudkan sebagai salah satu usaha berterusan dalam melindungi orang awam daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

    Talian khas tersebut akan menjadi pusat bantuan pertama bagi mereka yang menghadapi atau mengesyaki sebarang bentuk penipuan, khususnya yang melibatkan kerugian kewangan. Ia menekankan pendekatan proaktif serta intervensi segera dalam mengurangkan risiko orang ramai daripada terus terjerumus ke dalam perangkap penjenayah.

    Ketika ini, PPDB mengesan peningkatan kes penipuan seperti Royal Membership Card, yang memperdaya mangsa dengan janji keistimewaan atau ganjaran berkaitan dengan kerabat diraja dan orang kenamaan serta Macau Scam, di mana penjenayah menyamar sebagai pihak berkuasa melalui panggilan palsu dan memperdaya mangsa dengan tawaran hadiah atau pulangan wang palsu.

    Mangsa biasanya berada dalam keadaan panik dan tertekan sehingga terpaksa membuat bayaran ke akaun bank tidak dikenali.

    Gambar Canva

    Dengan adanya talian ini, mangsa atau individu yang berisiko akan diberikan panduan tindakan segera, bimbingan pra-laporan polis, pengesahan maklumat dan nasihat bagi mengelak kerugian lebih besar.

    Pada masa sama, PPDB juga dapat memantau perkembangan jenayah penipuan dalam masyarakat dengan lebih berkesan sekali gus mencegah lebih ramai orang menjadi mangsa.

    Walau bagaimanapun, PPDB menegaskan talian ini hanya menyediakan sokongan dan intervensi kritikal. Mangsa masih perlu membuat laporan rasmi kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan dan tindakan undang-undang diambil terhadap penjenayah yang terlibat.

    Orang ramai dinasihatkan agar segera menghubungi 16993 sebaik sahaja menyedari atau mengesyaki diri mereka ditipu.

    Tindakan pantas ini diharap dapat mengurangkan kerugian serta menghentikan aktiviti penipuan daripada terus memudaratkan orang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda