Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Orang ramai yang memerlukan bantuan khususnya perkhidmatan sokongan emosi boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Talian Harapan 145, iaitu sebuah perkhidmatan rintis oleh Kementerian Kesihatan yang bermula hari ini (12 Februari).
Pelaksanaan projek perkhidmatan Talian Harapan 145 itu merupakan salah satu strategi yang akan dapat membantu dan memberikan sokongan kepada orang ramai khususnya di Brunei dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan mental serta emosi.Pengumuman mengenai pelaksanaan perkhidmatan rintis itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau menekankan bahawa tidak ada kesihatan tanpa adanya kesihatan mental dan dalam hubungan itu, kementeriannya amat mengambil perhatian serius mengenai dengan kesihatan mental di Brunei dan sentiasa berusaha secara berterusan dalam mengukuhkan dan memantapkan sistem penjagaan kesihatan mental supaya lebih inovatif, proaktif dan efektif bukan hanya sekadar responsif terhadap keperluan semasa malahan sentiasa bersiap siaga dalam menangani cabaran-cabaran yang mendatang.
Semua usaha itu, jelasnya lagi, adalah selaras dengan beberapa dasar termasuk Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-66 pada Mei 2013 seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Komprehensif Kesihatan Mental 2013-2020 (Comprehensive Mental Health Action Plan 2013-2020) yang menyarankan negara-negara ahli untuk memastikan penyediaan perkhidmatan, dasar, perundangan, perancangan, strategi dan program untuk melindungi, mempromosi dan menghormati hak-hak golongan yang mengalami kecelaruan mental.
“Kedua, ia adalah selaras dengan Perintah Kesihatan Mental 2014, Negara Brunei Darussalam yang antara lain bertujuan untuk mewujudkan peruntukan bagi penjagaan, rawatan, pemulihan dan perlindungan orang-orang yang bercelaru mental.

“Ketiga, ia juga selaras dengan Pelan Tindakan Kesihatan Mental bagi Kementerian Kesihatan iaitu antara lain untuk menyediakan strategi-strategi bagi penyampaian perkhidmatan dan penjagaan kesihatan mental yang mudah diperoleh oleh rakyat dan penduduk di negara ini,” tambahnya.
Beliau turut menekankan kepada orang ramai akan pentingnya untuk sama-sama memberikan sokongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan melayan mereka dengan hormat, lebih-lebih lagi yang berisiko untuk membunuh diri.
“Dari itu, semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat amnya hendaklah berperanan dan komited untuk bersama-sama bertanggungjawab dalam memperkesankan penjagaan hal ehwal kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan setiap individu di negara ini.”
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkata lagi, “Kerjasama semua pihak yang berkepentingan juga haruslah dipertingkatkan dalam menangani dan memperbaiki kesihatan mental, di samping mengurangkan kejadian bunuh diri di Negara Brunei Darussalam.”
Beliau menambah, “Menawarkan bantuan kepada ahli keluarga, kawan atau rakan sekerja; seperti mendengar akan kebimbangan mereka, bertanya apa yang boleh awda lakukan untuk membantu atau menawarkan untuk menemani mereka berjumpa dengan doktor atau ahli psikologi, atau mendorong mereka menghubungi Talian Harapan 145; semuanya boleh membuat banyak perbezaan kepada individu-individu yang mempunyai tekanan.”
Beliau juga berharap Talian Harapan 145 dapat digunakan dengan bertanggungjawab dan secara baik oleh semua pengguna serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak kerana ia merupakan hak bersama.
Talian Harapan 145 itu dikendalikan oleh profesional kesihatan mental yang terlatih dan bertauliah dari Kementerian Kesihatan dan bagi projek rintis berkenaan, ia beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 11 malam dengan waktu operasi itu akan dipantau dari semasa ke semasa jika ada keperluan untuk menambah waktu perkhidmatannya kepada 24 jam.
Bagi membolehkan orang awam menghubungi talian berkenaan, setiap panggilan tidak dikenakan sebarang bayaran atau caj dan setiap panggilan adalah sulit dan segala keterangan peribadi pemanggil akan dirahsiakan.
Mengikut kesesuaian keadaan, para pemanggil juga mungkin akan dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan lanjutan daripada profesional kesihatan seperti doktor atau pakar psikologi, serta ahli profesional lain di luar Kementerian Kesihatan seperti khidmat nasihat atau kaunseling yang ditawarkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya.
Namun begitu, hak pemanggil untuk membuat pilihan semasa mahu pun selepas panggilan mengenai tindakan selanjutnya yang dipilih mereka akan dihormati.