Sunday, January 19, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talian Harapan kini beroperasi 24 jam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kementerian Kesihatan terus memberikan penekanan kepada kesihatan mental dengan perubahan waktu operasi perkhidmatan Talian Harapan 145 di mana bermula 1 Mac, ia akan beroperasi setiap hari dalam masa 24 jam.

    Talian Harapan 145 dikendalikan oleh profesional kesihatan mental dari Kementerian Kesihatan yang terlatih dan bertauliah.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan, talian itu menyediakan empat jenis perkhidmatan iaitu memberikan maklumat mengenai perkhidmatan kesihatan mental yang terdapat di Negara Brunei Darussalam dan memberikan khidmat nasihat atau kaunseling bagi menangani situasi atau tekanan yang menyebabkan gangguan mental atau emosi seperti masalah peribadi, sosial atau lain-lain masalah yang berkaitan dengan emosi seseorang.

    Ia juga memberikan khidmat kecemasan dan bantuan kepada para pemanggil yang berada dalam krisis kesihatan mental yang boleh membawa kepada masalah psikologi atau berfikir untuk membunuh diri, di samping menyediakan ruang yang selamat bagi membincangkan masalah pemanggil.

    Selain itu, ia turut memberikan khidmat nasihat dan membantu mereka yang memerlukan panduan untuk menangani sebarang masalah kesihatan mental yang dialami oleh seseorang yang dikenali atau tidak dikenali termasuk nasihat yang dapat diberikan untuk mencegah seseorang yang berfikiran untuk membunuh diri daripada melakukannya.

    Kementerian Kesihatan memberikan jaminan bahawa setiap panggilan ke talian tersebut adalah sulit dan butiran peribadi pemanggil akan dirahsiakan.

    Jika bersesuaian, para pemanggil seterusnya dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan lanjutan daripada profesional kesihatan seperti doktor atau psikologi serta ahli profesional lain di luar Kementerian Kesihatan seperti khidmat nasihat atau kaunseling yang ditawarkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sebagainya.

    Namun, pemanggil berhak membuat pilihan semasa atau selepas panggilan mengenai tindakan selanjutnya dan apa jua pilihan mereka akan dihormati.

    Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk sama-sama memberikan sokongan kepada mereka yang mempunyai masalah mental, terutamanya yang berisiko membunuh diri. Bagi maklumat lanjut mengenai perkhidmatan kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam, bolehlah menghubungi Talian Harapan 145 atau Talian Darussalam 123 atau melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.mog.gov.bn dan mengikuti media sosial, @mohbrunei atau @th145.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda