Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talian kabel terputus punca kemalangan maut funikular

    LISBON, 7 SEPT – Satu kabel yang menghubungkan dua kabin terputus tidak lama sebelum kemalangan funikular yang meragut 16 nyawa di Lisbon minggu ini, beberapa jam selepas kabel itu melalui pemeriksaan visual, menurut pemeriksa kemalangan pada hari Sabtu.

    Maklumat itu terkandung dalam nota mengenai kemalangan pada Rabu yang diterbitkan oleh biro penyiasatan kemalangan udara dan kereta api Portugal (GPIAAF).

    “Berdasarkan bukti yang diperoleh setakat ini, pelan penyelenggaraan yang dijadualkan adalah terkini dan pemeriksaan visual yang dijadualkan telah dijalankan pada pagi hari kemalangan tidak menemui sebarang kecacatan pada kabel atau sistem brek kenderaan,” menurut nota agensi itu.

    Namun, keadaan bahagian kabel di mana ia terpisah daripada kenderaan sebelum kemalangan tidak dapat diperiksa secara visual, tambahnya.

    Menurut penemuan awal penyiasat, funikular itu terhempas pada kelajuan 60 kilometer sejam dan keseluruhan insiden berlaku hanya dalam 50 saat, menurut GPIAAF.

    Penyiasat turut mengumumkan, 11 warga asing termasuk antara 16 mangsa yang terkorban dalam kemalangan pada Rabu.

    Secara keseluruhan, kira-kira 20 orang cedera, termasuk kira-kira 11 warga asing, menurut pihak perkhidmatan kecemasan.

    Di samping itu, dua penyiasatan berasingan kini sedang dijalankan mengenai kemalangan itu iaitu satu siasatan yang dijalankan oleh pejabat penyiasat kemalangan dan satu lagi oleh pejabat pendakwa raya.

    GPIAAF menekankan dalam notanya, kedua-dua penyiasatan itu sepenuhnya bebas antara satu sama lain dan mereka akan menerbitkan laporan awal mengenai kemalangan itu dalam tempoh 45 hari.

    Manakala, media Portugal turut menyiarkan laporan pemeriksaan harian yang dijalankan pada pagi tragedi itu dan menunjukkan sistem operasi berfungsi dengan lancar. – AFP

    Gambar ini menunjukkan bingkai funikular Gloria selepas terlibat dalam kemalangan di Lisbon, pada 4 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda