Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Masjid telah memiliki kedudukan yang penting kerana sebagai pusat dakwah, pusat pentadbiran, tempat penyebaran dakwah dan bermacam-macam lagi khususnya pada zaman Rasulullah SAW.
Sehubungan dengan itu, bagi meluaskan lagi jaringan hubungan antara masjid di dalam dan luar negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah menganjurkan program Talian Kasih: Masjid-masjid Seborneo dengan Ahli Jawatankuasa Takmir dan pegawai-pegawai masjid di pelbagai tempat termasuk Sabah dan Sarawak.
Program berkenaan akan diadakan dua bulan sekali dengan menggunakan kaedah panggilan video atas talian.
Program sedemikian telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada bulan Februari yang lalu dan pada kali ini program tersebut telah diadakan di Jame ‘Asr Hassanal Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir ke menyertai program berkenaan adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha.
Turut hadir adalah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu; Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak, Yang Amat Arif Datu Haji Awang Suhaili bin Deli; pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan dari Jabatan Agama Islam Sarawak serta Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Antara objektif program tersebut ialah bagi mengeratkan silaturahim dan sokongan berterusan antara masjid-masjid serantau. Di samping memupuk hubungan yang kukuh untuk saling memanfaatkan kerjasama antara masjid-masjid dan membuka jalan apa-apa usaha dan projek pada masa yang akan datang.
Program berkenaan diharap dapat mewujudkan jaringan kerjasama dalam mempromosi pelancongan Islam di kalangan negara-negara di Borneo. Pada masa yang sama, menjadi wacana ilmiah dalam menjalin rangkaian persahabatan antara Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara yang dijemput.