Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Talian khas lapor anjing liar

    MIRI, 28 Dis – Majlis Bandaraya Miri (MBM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran anjing liar berkeliaran di kawasan awam sekitar bandar raya, supaya membuat laporan dengan menghubungi hotline aplikasi WhatsApp.

    MBM dalam satu kenyataan berkata penyediaan hotline itu adalah salah satu daripada strategi pihaknya dalam membendung penularan jangkitan rabies di bandar raya, dengan tiga pasukannya sentiasa bersiap sedia untuk menangkap anjing liar dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

    “Operasi bagi mengawal populasi anjing liar di bandar raya berterusan sejak Julai 2017 lagi semasa wabak rabies diisytiharkan di Kuching. Sejumlah 2,394 anjing liar ditangkap antara Julai 2017 dan 18 Disember lepas,” menurutnya.

    Bagi pemilik anjing, MBM berkata Undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Perlesenan dan Kawalan Anjing) 2016 yang dikenakan ke atas semua 26 pihak berkuasa tempatan dalam Sarawak dan mula dikuatkuasakan pada 1 Disember lepas, mewajibkan mereka mendapatkan lesen dengan bayaran yuran RM30 bagi setiap anjing yang dimandulkan (steriled) dan RM90 bagi ‘non-sterilised’ bagi tempoh tiga tahun.

    “Bagaimanapun bagi pemilik yang menghantar permohonan lesen anjing mereka antara 3 Disember 2018 sehingga 28 Februari 2019, mereka akan diberikan pengecualian setahun bagi yuran lesen sehingga 30 November 2019,” katanya dan menambah kedai haiwan peliharaan dan pemelihara anjing (breeders) perlu memohon yuran lesen bagi kedai haiwan peliharaan RM200 setahun dan RM1,000 setahun bagi pemelihara anjing. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda