KABUL, 22 Ogos – Taliban hari ini mengingatkan Afghanistan akan menjadi ‘tanah perkuburan’ untuk Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump memberikan kelulusan untuk menghantar beribu-ribu lagi tentera Amerika ke negara itu.
“Jika Amerika tidak mengeluarkan tentera mereka dari Afghanistan, tidak lama lagi Afghanistan akan menjadi satu lagi tanah perkuburan untuk kuasa besar ini pada abad ke-21,” kata Zabiullah Mujahid, jurucakap untuk Taliban di Afghanistan, dalam satu kenyataan. Beliau menambah Amerika harus memikirkan satu strategi keluar “dan bukannya meneruskan peperangan.”
“Asalkan terdapat seorang tentera AS di negara kami, dan mereka terus mengenakan perang ke atas kami, kami, dengan semangat berkobar-kobar akan meneruskan jihad kami,” kata Mujahid.
Trump menarik balik janjinya untuk menamatkan perang paling lama Amerika dalam ucapan formal pertamanya kepada negara sebagai ketua komander lewat semalam, walaupun beliau tidak memberikan butir-butir khusus. – AFP