Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taliban digesa bebaskan pasangan warga emas Britain sebelum ‘maut dalam tahanan’

    LONDON, 21 JULAI – Anak kepada pasangan warga emas Britain yang dipenjarakan oleh Taliban di Afghanistan merayu agar ibu bapa mereka dibebaskan segera sebelum ‘meninggal dalam tahanan’, lapor PA Media/dpa.

    Barbie Reynolds, 76, dan suaminya Peter, 80, ditahan ketika dalam perjalanan pulang di wilayah Bamyan, tengah Afghanistan, pada Februari lalu.

    Pasangan itu ditahan selama lima bulan setengah tanpa sebarang pertuduhan dan sehingga lapan minggu lalu, dipisahkan dan dikurung di sebuah penjara keselamatan maksimum.

    Empat anak mereka yang menetap di Amerika Syarikat dan United Kingdom menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan kedua-dua ibu bapa mereka yang dilaporkan semakin merosot.

    “Ini satu lagi rayuan mendesak kepada Taliban untuk membebaskan ibu bapa kami sebelum terlambat dan mereka meninggal dunia dalam tahanan.

    “Mereka telah mendedikasikan hidup mereka untuk rakyat Afghanistan selama 18 tahun,” kata mereka.

    Mereka berkata dua surat telah dihantar secara peribadi kepada kepimpinan Taliban, selain rayuan awam yang dibuat bagi pembebasan ibu bapa mereka yang menjalankan program latihan sekolah di negara itu sejak 18 tahun lalu, termasuk selepas pengambilalihan kuasa oleh Taliban pada 2021.

    Anak perempuan pasangan itu, Sarah Entwistle, berkata beliau dan adik-beradiknya sebelum ini tidak membuat sebarang kenyataan awam selama dua bulan dalam harapan tindakan itu akan mendorong Taliban membebaskan ibu bapa mereka, namun tiada kemajuan dicapai. – Bernama

    Gambar Rebuild Consultants
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda