Friday, July 5, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Taliban diminta libatkan wanita dalam kehidupan awam

    DOHA, 2 JULAI – Pihak berkuasa Taliban diberitahu bahawa wanita mesti dilibatkan dalam kehidupan awam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Rosemary DiCarlo kelmarin ketika dia mempertahankan keputusan untuk mengetepikan kumpulan-kumpulan masyarakat awam semasa rundingan rasmi di Doha.

    Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia telah mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kontroversi PBB untuk mengecualikan kumpulan-kumpulan tersebut, termasuk aktivis hak asasi wanita, daripada mesyuarat dua hari mengenai isu-isu Afghanistan sebagai syarat bagi penyertaan kerajaan Taliban.

    “Pihak-pihak berkuasa tidak akan duduk dengan masyarakat awam Afghanistan dalam format ini, tetapi mereka telah mendengar dengan jelas keperluan untuk melibatkan wanita dan masyarakat awam dalam semua aspek kehidupan awam,” DiCarlo memberitahu sidang akhbar di Doha.

    Pertemuan yang dihoskan PBB itu bermula pada Ahad dan merupakan perhimpunan ketiga seumpamanya diadakan di Qatar dalam tempoh setahun lebih, tetapi yang pertama melibatkan pihak berkuasa Taliban yang merampas kuasa di Afghanistan untuk kali kedua pada 2021.

    Rundingan-rundingan itu bertujuan membincangkan peningkatan penglibatan dengan Afghanistan dan respons yang lebih koordinasi di negara itu, termasuk isu-isu ekonomi dan usaha memerangi narkotik.

    Masyarakat antarabangsa telah bergelut dengan pendekatannya terhadap Taliban sejak mereka kembali berkuasa, tanpa negara yang mengiktiraf kerajaannya secara rasmi. – AFP

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...