Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taliban disaran batal larangan wanita di NGO

    LONDON, 27 DIS – Agensi bantuan antarabangsa terpaksa menarik diri untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan selepas pihak Taliban melarang wanita bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kata Setiausaha Luar Britain, James Cleverly.

    Justeru, beliau menyarankan rejim Taliban menarik balik keputusan itu kerana berjuta-juta rakyat Afghanistan akan menderita akibat dasar itu, lapor PA Media/dpa.

    Sementara itu, pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kabul bertemu dengan seorang menteri Taliban untuk membincangkan mengenai perkara itu.

    Larangan itu telah mendorong beberapa agensi bantuan antarabangsa untuk menangguhkan operasi di Afghanistan.

    James Cleverly berkata: “Taliban cuba untuk melenyapkan peranan wanita dalam masyarakat di Afghanistan. Melarang wanita bekerja untuk NGO akan menghalang berjuta-juta rakyat Afghanistan daripada meng-akses bantuan dan bekalan menyelamatkan nyawa. Ini akan memberi kesan kepada semua orang. Taliban mesti segera tarik balik keputusan ini.”

    Langkah larangan itu diumumkan pada Sabtu oleh Menteri Ekonomi, Qari Din Mohammed Hanif kerana mendakwa beberapa pekerja wanita NGO di Afghanistan tidak memakai hijab dengan sempurna. – Bernama

    Gambar yang diambil pada 25 Disember 2022 menunjukkan pelajar, Marwa membuat bantahan bersendirian menentang larangan ke atas pengajian tinggi wanita, di luar Universiti Kabul sementara anggota Taliban mengawal di pos kawalan Kabul. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda