Taliban enggan bertoleransi semasa Ramadan

KABUL, 24 APRIL – Taliban menolak permintaan kerajaan untuk gencatan senjata semasa Ramadan di Afghanistan, dengan mengatakan gencatan senjata itu ‘tidak rasional’ ketika mereka meningkatkan serangan terhadap anggota kerajaan.

Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani meminta para militan untuk melakukan gencatan senjata untuk bulan suci Islam yang bermula hari ini, ketika negara itu terus bergelut memerangi wabak koronavirus yang semakin meningkat.

Tetapi jurucakap Taliban, Suhail Shaheen, dalam tweet lewat malam kelmarin menolak tawaran berkenaan, dengan alasan tidak bersetuju bagi proses perdamaian dan pertukaran tahanan yang tertunda tatkala mereka bergelut untuk terus berjuang.

“Memohon untuk gencatan senjata adalah tidak rasional dan tidak meyakinkan,” tulis Shaheen ketika dia mendakwa kerajaan akan membahayakan nyawa tahanan ketika penularan wabak ini terus berlanjutan.

Di bawah perjanjian penting AS-Taliban yang ditandatangani awal tahun ini, kerajaan Afghanistan dan pemberontak seharusnya sudah membuat pertukaran tahanan dan memulakan rundingan yang bertujuan mewujudkan gencatan senjata yang komprehensif.

Pertempuran terbaharu berlaku selepas puluhan anggota pasukan keselamatan Afghanistan terbunuh dalam gelombang keganasan baharu yang dilancarkan pemberontak minggu ini.

Serangan tersebut kebanyakannya terbatas di kawasan luar bandar dan bandar kecil. Di bawah perjanjian AS-Taliban, para pemberontak telah bersetuju untuk tidak menyerang mana-mana bandar.

AS dan anggota tentera asing lain telah berjanji untuk keluar dari Afghanistan menjelang Julai 2021 dengan syarat Taliban mematuhi beberapa jaminan keselamatan dan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negara itu. – AFP

Umat Islam di Kabul menunaikan sembahyang semasa hari pertama Ramadan di Masjid Wazir Akbar Khan, kelmarin. Taliban menolak permintaan kerajaan untuk gencatan senjata semasa Ramadan di Afghanistan, dengan mengatakan gencatan senjata itu ‘tidak rasional’. – AFP