ISLAMABAD, 24 0G0S — Taliban telah menyekat ratusan pelajar perempuan Afghanistan daripada mengunjungi Emiriah Arab Bersatu untuk belajar, menurut pengerusi kumpulan yang menawarkan pelajar biasiswa.
“Saya tidak dapat mengungkapkan kekecewaan yang saya rasakan kerana pelajar perempuan Afghanistan yang telah saya tawarkan biasiswa pendidikan gagal tiba di lapangan terbang Dubai,” kata pengerusi kumpulan Al Habtoor, Khalaf Ahmad Al Habtoor, kelmarin di X (Twitter).
Al Habtoor berkata beliau telah memberikan peluang kepada mereka untuk belajar dengan kerjasama Universiti Dubai. Walaupun sudah mendapatkan “pengiktirafan universiti, penginapan, pengangkutan, insurans kesihatan dan pelbagai perkhidmatan komprehensif bertujuan memastikan keselesaan dan keselamatan yang terbaik bagi pelajar-pelajar wanita, aspirasi kami kini hancur lebur.”
Walaupun Taliban telah berjanji untuk mengamalkan pemerintahan yang lebih sederhana berbanding zaman pemerintahan mereka sebelum ini pada tahun 1990an, mereka telah mengenakan tindakan keras sejak mengambil alih Afghanistan pada Ogos 2021 selepas tentera Amerika Syarikat (AS) dan NATO berundur selepas peperangan selama dua dekad.
Mereka menghalang wanita daripada kebanyakan bidang kehidupan awam dan pekerjaan serta mengehadkan kebebasan media.
Mereka telah melarang wanita daripada melanjutkan pelajaran selepas tingkatan enam dan melarang wanita Afghanistan bekerja di organisasi tempatan dan bukan kerajaan.
Pada bulan April, larangan itu diperluaskan kepada pekerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Langkah tersebut telah membangkitkan kemarahan antarabangsa, meningkat pengasingan negara dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan. – AP


