PULI ALAM, 26 April – Sekumpulan lelaki bersenjata telah membunuh timbalan gabenor wilayah dan tiga yang lain dalam serangan hendap di Afghanistan semalam, menurut para pegawai, ketika Taliban melancarkan siri-siri serangan di seluruh negara itu selepas memulakan serangan musim bunga.
Kumpulan militan terbesar Afghanistan Rabu lalu mengumumkan permulaan operasi baharu mereka digelar Al Khandaq, dengan berikrar untuk menyasarkan tentera Amerika Syarikat (AS) dan ‘para penyokong dalaman’ mereka.
Qamaruddin Shekib, timbalan gabenor bagi wilayah Logar yang dilanda kekacauan berdekatan Kabul, dua orang pengawal peribadinya dan seorang lagi lelaki diserang ketika mereka memandu ke arah ibu negara Afghanistan, menurut jurucakap polis wilayah Shapoor Ahmadzai kepada AFP.
Jurucakap gabenor Logar dan ketua mahkamah rayuan wilayah turut cedera dalam serangan itu yang diakui dilancarkan oleh Taliban.
“Kumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali itu telah melepaskan tembakan ke arah konvoi mereka,”menurut ketua majlis wilayah Logar, Hasibullah Stanikzai kepada AFP dengan mengesahkan bahawa timbalan gabenor telah meninggal dunia dan beberapa yang lain turut terkorban atau cedera.
Dalam kejadian berasingan yang turut diakui dilancarkan oleh kumpulan itu di wilayah utara Kunduz, kumpulan militan itu telah melancarkan satu serangan pada awal subuh ke atas dua pusat pemeriksaan tentera di daerah Dashte Archi.
Seramai 13 orang anggota pasukan keselamatan terbunuh dan lima cedera, menurut jurucakap gabenor Kunduz, Nematullah Timori kepada AFP.
Tetapi jurucakap bagi divisyen Tentera Kebangsaan Afghanistan ke-20, Ghulam Hazrat Karimi di Kunduz, berkata lapan orang tentera terbunuh atau tercedera. – AFP