KABUL, 21 JUN – Seorang pembunuh yang disabitkan bersalah ditembak mati, kelmarin, di perkarangan sebuah masjid di wilayah Afghanistan, kata pegawai, ia merupakan hukuman mati awam kedua sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021.
“Beliau dihukum mati secara terbuka di bandar Sultan Ghazi Baba, pusat wilayah Laghman, supaya beliau menderita dan menjadi pengajaran kepada orang lain,” kata kenyataan pegawai penerangan wilayah.
Walaupun hukuman mati di tempat awam merupakan perkara biasa semasa pemerintahan pertama Taliban dari 1996 hingga 2001, satu-satunya hukuman mati yang mereka lakukan sejak kembali berkuasa adalah pada Disember tahun lalu di wilayah Farah.
Walau bagaimanapun, terdapat sebatan di tempat awam yang kerap dilakukan bagi jenayah lain, termasuk mencuri, berzina dan penggunaan alkohol.
Pegawai menamakan pembunuh itu sebagai Ajmal, anak Naseem, dan menambahkan bahawa dia telah membunuh lima orang.

Seorang pegawai di jabatan maklumat dan kebudayaan wilayah memberitahu AFP bahawa kira-kira 2,000 orang menyaksikan hukuman mati itu termasuk ahli keluarga mangsa Ajmal, hukuman mati itu dilaksanakan mengikut undang-undang syariah.
Pemimpin Tertinggi Afghanistan, Hibatullah Akhunzada tahun lalu memerintahkan hakim untuk melaksanakan sepenuhnya semua aspek syariah termasuk hukuman qisas, yang berarti hukuman berdasarkan kesalahan dilakukan. “Saya melihat penjenayah itu dihukum mati sebagai qisas selepas keluarga mangsa tidak memaafkannya,” kata seorang saksi hukuman mati, kelmarin kepada AFP.
“Dia ditembak enam kali kalau tak silap saya. Saya tidak nampak sama ada dia sudah mati atau tidak, tetapi dia kemudian dibawa menaiki ambulans,” kata saksi yang tidak ingin disebutkan namanya. – AFP

