KABUL, 20 JUN – Taliban berkata hari ini mereka tetap komi-ted kepada rundingan perdamaian, tetapi menegaskan ‘sistem Islam tulen’ di Afghanistan merupakan satu-satunya cara untuk menamatkan peperangan dan menjamin hak wanita. Rundingan di antara Taliban dan kerajaan Afghan telah menemui kebuntuan beberapa bulan lamanya dan keganasan telah meningkat di seluruh negara sejak Mei apabila tentera Amerika Syarikat (AS) mula mengeluarkan tenteranya.
Meskipun peningkatan dalam keganasan, pengasas dan timbalan ketua Taliban Mullah Abdul Ghani Baradar berkata hari ini kumpulan itu tetap komited kepada rundingan perdamaian. “Penyertaan kami dalam rundingan menunjukkan kami percaya untuk menyelesaikan isu menerusi pemahaman bersama,” kata Baradar dalam satu kenyataan. Beliau berkata satu-satunya cara untuk menamatkan konflik di Afghanistan adalah menubuhkan sistem Islam selepas pengunduran semua tentera asing.
“Satu sistem Islam yang tulen adalah kaedah terbaik untuk penyelesaian kesemua isu yang dihadapi penduduk Afghan,” kata Baradar. Baradar juga memberi jaminan bahawa hak kesemua warga Afghan termasuk wanita akan diterapkan dalam sistem berkenaan berdasarkan ‘landasan ajaran Islam’ dan tradisi Afghan.
Kebimbangan mengenai masa depan telah memaksa ramai penduduk Afghan meninggalkan negara, termasuk ribuan lelaki dan wanita yang bimbang tindakan balas disebabkan mereka bekerja dengan kuasa asing.
Baradar menggesa belia Afghan supaya jangan meninggalkan negara, dan juga menekankan bahawa Taliban akan memastikan golongan minoriti, pertubuhan kemanusiaan dan diplomat tidak mempunyai sebarang ancaman. – AFP
