KABUL, 17 MAC – Kerajaan sementara Afghanistan kelmarin menubuhkan satu suruhanjaya untuk ‘memikat’ rakyatnya yang berada di luar negara kembali ke tanah air.
Jurucakap Taliban, Dr Muhammad Naeem berkata suruhanjaya itu akan diketuai Menteri Mineral dan Petroleum, Sheikh Shahabuddin Delawar, lapor Agensi Anadolu.
“Suruhanjaya Penghantaran Pulang dan Hubungan Afghanistan akan berhubung dengan rakyatnya yang telah meninggalkan negara itu supaya mereka boleh kembali ke tanah air dan hidup secara aman,” ciap Naeem di akaun Twitternya.
Beliau berkata penubuhan suruhanjaya terdiri enam anggota itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang diketuai Perdana Menteri Mullah Mohammad Hassan Akhand.
Sejak sekian lama ratusan rakyat Afghanistan berada di luar negara akibat konflik yang memaksa mereka meninggalkan negara itu. – Bernama