KABUL, 29 OGOS – Wanita Afghanistan akan dibenarkan untuk belajar di universiti namun akan ada tegahan ke atas kelas campuran di bawah pemerintah mereka, kata pemangku menteri pendidikan tertinggi Taliban hari ini.
Kumpulan berpendirian tegas yang mendapat kuasa pada pertengahan Ogos selepas berjaya menyingkirkan kerajaan sokongan Barat telah berikrar untuk memerintah secara berbeza daripada tahun 1990an apabila perempuan dan wanita ditegah daripada belajar.
“Penduduk Afghanistan akan meneruskan pendidikan tinggi mereka mengikut undang-undang Syariah demi keselamatan dalam suasana tanpa percampuran lelaki dan perempuan,” kata Abdul Baqi Haqqani, kata pemangku menteri pendidikan tinggi Taliban pada mesyuarat bersama warga emas, dikenali sebagai loya jirga hari ini.
Dia berkata Taliban ingin ‘mencipta kurikulum Islamik dan munasabah sejajar dengan Islam, negara dan nilai sejarah serta dalam masa yang sama, mampu bersaing dengan negara lain’.
Budak perempuan dan lelaki juga akan diasingkan di sekolah-sekolah rendah dan menengah yang sudah pun perkara biasa di Afghanistan yang konservatif.

Kumpulan itu telah menjamin untuk menghormati kemajuan yang dibuat dalam hak-hak wanita namun hanya berdasarkan tafsiran undang-undang ketat Islam mereka.
Sama ada wanita boleh bekerja, mendapat pendidikan pada semua peringkat dan boleh bercampur dengan lelaki telah menjadi persoalan yang cukup menekan.
Namun penjenamaan semula Taliban sering dilihat dengan skeptis, dengan ramai mempersoalkan sama ada kumpulan itu akan berpegang pada janji-janjinya.
Tidak ada wanita yang hadir pada mesyuarat di Kabul hari ini yang termasuk para pegawai kanan Taliban lainnya.
Sementara itu, petang ini, sebutir roket telah meledak di Kabul beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran serangan keganasan lain boleh menambah ketegangan di bandar itu ketika pemindahan besar-besaran puluhan ribu penduduk Afghanistan memasuki hari-hari terakhir.
Kira-kira 114,000 orang melarikan diri dari negara itu menerusi pemindahan yang diketuai AS sejak Taliban merampas kuasa dua minggu lalu dengan operasi dihentikan meskipun kuasa-kuasa Barat berkata ribuan lagi akan tersisih.
Tetapi lewat petang ini, letupan kuat dapat didengari dari utara bandar itu yang para pegawai keselamatan dalam kerajaan digulingkan berkata ia adalah roket yang jatuh ke atas sebuah rumah.
Namun maklumat lanjut tidak diperolehi. – AFP