Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tamadun Islam asas kedaulatan dan identiti Brunei

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Tamadun Islam di Brunei merupakan satu proses pembinaan peradaban yang berteraskan nilai-nilai Islam menyeluruh, merangkumi aspek kepercayaan, politik, pemerintahan, undang-undang, ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya yang membentuk identiti serta kedaulatan Negara Brunei Darussalam sejak abad ke-14 Masihi.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemangku Pengarah Pusat Sejarah Brunei, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, hari ini, semasa menyampaikan ucaptama bertajuk “Ketamadunan Islam di Brunei: Masa Lalu untuk Masa Depan” pada Simposium Sejarah Ketamadunan Islam di Nusantara yang bertemakan ‘Tinggalan Sejarah Sumber Ketamadunan Islam Nusantara’.

    Program anjuran oleh Pusat Sejarah Brunei melalui Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi serta Bahagian Pengkajian Borneo (penBorneo), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu diadakan di Dewan Serbaguna Pusat Sejarah Brunei, Kampung Kianggeh.

    Dr. Haji Muhammad Hadi dalam ucaptama menjelaskan, bahawa berdasarkan perspektif sejarah, tamadun Islam di Brunei telah terbina sejak pengislaman Awang Alak Betatar yang bergelar Sultan Muhammad Shah sekitar tahun 1402 Masihi, yang menandakan titik tolak rasmi perkembangan peradaban Islam di Brunei Darussalam.

    Beliau turut menjelaskan bahawa peninggalan sejarah seperti Batu Tarsilah, batu nisan Islam di Bandar Seri Begawan serta catatan-catatan sejarah dan lisan, menjadi bukti kukuh terhadap kewujudan dan kesinambungan tamadun Islam yang telah berakar umbi lebih 650 tahun di negara ini.

    Menurut beliau, tamadun Islam telah mengubah landskap kepercayaan dan pemikiran masyarakat Brunei daripada pengaruh animisme dan Hindu-Buddha kepada satu sistem hidup berasaskan tauhid yang menegakkan ajaran Islam secara menyeluruh.

    Beliau turut menyentuh bahawa pada zaman pemerintahan Sultan Bolkiah, Sultan Abdul Kahar, Sultan Saiful Rijal dan Sultan Muhammad Hasan, Brunei mencapai zaman kegemilangan sebagai pusat penyebaran Islam dan perdagangan di Nusantara, termasuk wilayah-wilayah di Filipina Selatan seperti Sulu dan Mindanao.

    Dr. Haji Muhammad Hadi semasa menyampaikan ucaptama bertajuk “Ketamadunan Islam di Brunei: Masa Lalu untuk Masa Depan”, Simposium Sejarah Ketamadunan Islam di Nusantara hari ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pengaruh Brunei mula berkurangan apabila berdepan tekanan kuasa-kuasa Barat seperti Sepanyol dan British pada abad ke-19, selain pergolakan dalaman serta kehilangan wilayah yang akhirnya membawa ke era cabaran dalam sejarah Brunei.

    Namun begitu, semangat dan asas ketamadunan Islam kekal kukuh hingga membawa kepada pemulihan kedaulatan negara melalui Perlembagaan 1959 dan seterusnya Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984, yang menegaskan Brunei sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang merdeka, berdaulat dan berpaksikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Dalam konteks ini, Dr. Haji Muhammad Hadi turut menegaskan bahawa Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan tunjang utama yang mendasari kewujudan, kekuatan dan ketahanan tamadun Islam di Brunei.

    Gabungan nilai Islam, adat dan budaya Melayu serta pimpinan institusi Beraja yang adil dan berdaulat telah mewujudkan satu sistem pemerintahan unik yang memelihara jati diri bangsa dan kestabilan negara.

    Selain menekankan bahawa MIB bukan sahaja menjadi identiti keBruneian, tetapi juga benteng kukuh yang menjamin kelangsungan tamadun Islam serta kesinambungan pemerintahan yang berlandaskan syariat Islam dan kesetiaan kepada Raja hingga ke era moden.

    Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa tamadun Islam di Brunei bukan sekadar sejarah lampau, tetapi merupakan naratif utama yang mencorakkan pembentukan, kegemilangan, kemerosotan dan kebangkitan semula Brunei sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat.

    “Perjalanan panjang ini menunjukkan bahawa asas ketamadunan Islam di Brunei terus hidup dan berkembang, dan menjadi panduan penting dalam meneruskan legasi serta memastikan kesinambungan peradaban Islam untuk masa depan Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda