DARI segi bahasa tamak bererti rakus hatinya. Manakala menurut Istilah pula tamak adalah cinta kepada dunia (harta) terlalu berlebihan tanpa menghirau hukum haram yang mengakibatkan adanya dosa besar.
Serakah dalam Bahasa Arab disebut tamak, iaitu sikap yang selalu ingin memperoleh sesuatu yang banyak untuk diri sendiri. Orang tamak selalu mengharap pemberian orang lain, namun dia sendiri bersikap pelit atau bakhil. Dia ingin mengumpulkan harta untuk kepentingan diri sendiri tanpa mengikut aturan.
Orang yang tamak selalu merasa bahawa harta kekayaan yang dimilikinya selalu kurang dan tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT. Pada hakikatnya, bersyukur kepada Allah SWT adalah dengan menafkahkan harta kepada orang lain, yang bererti menafkahkan kepada dirinya sendiri. Tamak termasuk daripada salah satu penyakit hati yang tidak istiqamah kepada anugerah Allah. Jiwanya gelisah, hendak begini hendak begitu. Terhuyung ke kiri dan ke kanan, seperti pohon yang dihembus angin. Tamak adalah sifat manusia yang ingin memborong segalanya dan mengumpulkan semuanya.
Dari definisi di atas dapat kita fahami bahawa tamak adalah sikap rakus terhadap hal-hal yang bersifat kebendaan tanpa memperhitungkan mana yang halal dan haram. Sifat ini sebagai sebab timbulnya rasa dengki, hasut, permusuhan dan perbuatan keji dan mungkar lainnya, yang kemudian pada penghujungnya mengakibatkan manusia lupa kepada Allah SWT, kehidupan akhirat serta menjauhi kewajipan agama.
Kesan sifat tamak dalam kehidupan
1. Terlalu banyak angan-angan.
2. Timbulnya kekerasan hati seperti:
i. Apabila melakukan ketaatan (ibadah), dia tidak seronok.
ii. Apabila melakukan dosa, dia tidak berasa bersalah.
iii. Tidak boleh menerima teguran orang lain.
3. Kikir atau kedekut.
4. Dusta atau berbohong.

Dalam Al-Quran, banyak terdapat keterangan masalah rakus atau tamak, antara lain pada Surah Al-Baqarah ayat 96, yang bermaksud:
“Dan sungguh kamu akan mendapati mereka, manusia yang paling tamak kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) daripada orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya dari seksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. “
Ciri-ciri orang tamak
1. Sangat mencintai harta yang telah dimiliki.
2. Terlalu bersemangat dalam mencari harta sehingga tidak menghiraukan lagi waktu dan keadaan sekeliling.
3. Terlalu berjimat dalam membelanjakan harta.
4. Merasa berat untuk mengeluarkan harta untuk kepentingan agama mahupun manusia.
5. Semua perbuatannya bergantung kepada ganjaran.
6. Tidak memikirkan kehidupan di ahirat.
7. Cinta dunia.
8. Kurang pintar dalam memahami erti hidup bermasyarakat, yang di dalamnya mewajibkan kita untuk saling tolong-menolong, bukannya iri hati antara sesama yang lain.
9.Tidak beriman kepada qadha dan qadar Allah atas nasib dirinya.
10. Selain penyebab di atas, tamak juga disebabkan tidak pernah merasa puas dengan apa yang dicapainya dan menginginkan seperti apa yang dimiliki oleh orang lain.
Kesimpulan
Sifat ini seharusnya dielakkan dalam kalangan umat Islam. Sifat tamak ini lahir dari hati yang tidak pernah puas akan harta dan kekayaan yang diperolehi.
Hati ialah raja dalam diri manusia. Hati juga tempat letaknya keyakinan seorang hamba terhadap TuhanNya. Hati juga sasaran syaitan untuk menyesatkan dan menjadikan manusia tamak. Hati yang baik sentiasa mencetuskan kedamaian dan ketenangan dalam diri, keluarga dan masyarakat.
Jelaslah sifat tamak lawannya zuhud. Cara hidup yang sederhana dan zuhud akan mewujudkan sifat pemurah, ikhlas, syukur, dan tawaduk dalam hati seseorang. Sifat-sifat ini adalah akhlak mulia dan adab seharian sebagai penghias peribadi Muslim. – Agensi