OURAY, AMERIKA SYARIKAT – Pusat pendakian ais Amerika menghadapi masa depan yang suram, dengan perubahan iklim mengancam bekalan airnya, sehingga penyelamat yang tidak dijangka datang menyelamatkannya, iaitu lombong perak berhampiran.
Terletak di tengah-tengah Rockies, pada ketinggian 2,400 meter, Ouray terkenal dalam kalangan pendaki gunung di seluruh dunia untuk taman ais tiruannya.
Selama 30 tahun, kampung itu telah menyalurkan paip air yang menyaliri lereng gaung berdekatan pada musim sejuk, membeku di tempatnya dan mewujudkan berpuluh-puluh laluan pendakian.
“Ia pastinya tempat mendaki ais yang hebat,” kata pemandu gunung Clint Cook.
“Saya tidak dapat memikirkan tempat lain yang menarik begitu ramai orang khususnya ke satu tempat, hanya untuk mendaki ais.”
Tetapi kemarau yang melampau selama beberapa dekad mengancam sumber air kawasan itu, walaupun ketika jumlah pelawat musim sejuk meningkat mendadak.
“Saya masih ingat beberapa orang mengunjungi bandar dan seolah-olah berkata, ‘Jangan mandi malam ini! Kami memerlukan air itu di dalam tangki untuk membina ais,'” kata Cook, 47.
Namun bermula musim depan, semuanya akan berubah, selepas Lombong Perak Ouray campur tangan dan menawarkan untuk memajakkan hak kepada berjuta-juta liter (gelen) air setiap tahun – dengan bayaran AS$1.
“Air dari lombong akan memberi kami air tiga hingga lima kali lebih banyak daripada yang kami dapat akses sekarang,” kata Peter O’Neil, Pengarah Eksekutif Ouray Ice Park.
“Dan kami tidak bergantung kepada tangki air bandar.”
‘PEKAN LENGANG’
Ia sepatutnya menjamin masa depan taman bukan sahaja untuk ‘generasi pendaki ais akan datang,’ tetapi juga untuk semua perniagaan tempatan yang bergantung kepada pelancong.
“Jika tiada taman ais pada musim sejuk, bandar itu akan menjadi bandar lengang,” kata O’Neil.
“Kebanyakan hotel dan motel akan ditutup.”
Ouray, sebuah kampung dengan kira-kira 900 orang, diasaskan pada abad ke-19 semasa Colorado Silver Rush – masa lampau yang dijadikan peringatan oleh patung pelombong yang menyambut pelawat di kampung itu.
Perlombongan perak berkurangan sepanjang abad ke-20, tetapi permintaan baharu daripada teknologi baharu seperti panel solar telah menggiatkan semula industri tersebut.
Brian Briggs, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lombong Perak Ouray, yang memeterai perkongsian memindahkan hak air ke taman ais, berkata perjanjian itu adalah kemenangan untuk semua orang.
Di bawah hak penggunaan air Colorado, lombong itu berhak mengakses kepada berjuta-juta gelen air untuk ‘kegunaan rekreasi,’ hanya disebabkan ia adalah pemilik tanah yang penting.
Ia tidak menggunakannya, dan Briggs menyedari keperluan untuk meningkatkan imej industrinya.
“Kebanyakan orang tidak menyukai apa-apa di belakang rumah mereka yang merupakan perlombongan atau perindustrian,” katanya.
Menderma air, menurutnya, adalah cara yang baik untuk memberi kembali kepada masyarakat dalam usaha membina niat baik.
“Orang ramai perlu tahu bahawa lombong itu bukan hanya kumpulan orang yang teruk,” kata Briggs.
‘BAGAIMANA JIKA TIADA AIS?’
Iklim pemanasan Bumi, berpunca terutamanya daripada pembakaran bahan api fosil manusia yang tidak terkawal, bukan sahaja menjejas bekalan air, tetapi juga menimbulkan masalah dengan peningkatan suhu.
Sebaik-baiknya, taman itu memerlukan beberapa hari berturut-turut di mana suhu kekal di bawah -7C untuk ais terbentuk dengan betul, oleh itu adalah penting untuk membuka pili apabila cuaca sesuai.
Bagi beribu-ribu orang yang melancong ke ‘Switzerland of America’ yang diisytiharkan negara dengan membelanjakan kira-kira AS$18 juta setahun, perjanjian itu adalah satu rangsangan yang besar.
Jen Brinkley, dari California, telah melawat Ouray hampir setiap musim selama 30 tahun.
Semasa dia masih muda, ujarnya, dia akan bertanya, “Berapa kali kita boleh naik ke sana tahun ini? Ia lebih kepada persoalan seperti, berapa banyak perjalanan yang boleh kita lakukan?”
“Tidak pernah terfikir, ‘Jap, bagaimana jika tiada ais?'”
Brinkley berharap air dari lombong – yang dipam dari sungai dan kembali ke sana apabila ia cair pada musim bunga – akan menjamin masa depan taman dan menjadikan pendakian di sana lebih baik.
“Dengan lebih banyak laluan dibuka, awda pasti mempunyai orang yang boleh tersebar dan semua orang mempunyai peluang untuk mendaki,” katanya. – AFP