PHNOM PENH, 4 OGOS – Taman Arkeologi Angkor Kemboja yang terkenal, meraih AS$20.3 juta daripada jualan tiket dalam masa tujuh bulan pertama tahun ini, meningkat 502 peratus berbanding AS$3.37 juta dalam masa yang sama tahun lalu, menurut satu laporan hari ini.
Angkor menarik kira-kira 439,365 pelancong antarabangsa pada tempoh Januari sehingga Julai tahun ini, bertambah 424 peratus berbanding 83,854 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan syarikat milik kerajaan, Angkor Enterprise.
Lima sumber utama pasaran ke tapak kuno itu ialah Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Korea Selatan dan China, tambah laporan itu.
Setiausaha Negara dan Jurucakap Kementerian Pelancongan Kemboja, Top Sopheak menjelaskan pembukaan semula China awal tahun ini telah mempertingkatkan pertumbuhan pelancong ke Angkor.
“Kami berharap lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Kemboja, terutamanya ke Angkor, dalam masa tahun-tahun akan datang memandangkan lebih banyak syarikat penerbangan telah menyambung semula penerbangan mereka ke negara ini,” katanya memberitahu Xinhua.
Terletak di wilayah barat daya Siem Reap, Taman Arkeologi Angkor yang disenaraikan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO pada 1992, merupakan destinasi pelancongan paling popular di negara beraja Asia Tenggara itu.
Kawasan yang meliputi keluasan 401 kilometer persegi itu mengandungi saki baki ibu kota kuno menakjubkan Empayar Khmer daripada abad ke sembilan sehingga ke-15. Ia mempunyai sejumlah kuil seperti Angkor Wat, Angkor Thom, Bayon, Chau Say Tevoda dan Ta Keo, antara lainnya. – Xinhua