Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Crocodylus penyelamat habitat buaya Australia

    DARWIN – Seorang pakar bergurau, jika awda mahukan kematian yang cepat, melompatlah ke dalam sungai berhampiran bandar Darwin di Australia di mana dalam hanya beberapa minit, awda akan berada di rahang salah seekor daripada ratusan buaya yang mengintai dari airnya yang keruh.

    Itulah janji Grahame Webb, di mana usaha pemuliharaannya diberikan pujian dengan membantu melawan pemangsa air masin Australia yang kembali dari ambang kepupusan.

    “Awda tidak boleh memberi daya tarikan kepada buaya, ini sangat berbahaya,” kata Webb kepada AFP di tamannya yang rimbun di penghujung tropika negara itu.

    Mesej secara berterusan tentang bahaya di sekitar laluan air di utara Australia adalah penting untuk membina semula populasi reptilia bersisik yang pernah musnah akibat pemburuan tidak terkawal, katanya.

    Sebelum perlindungan kerajaan pada 1970an, dianggarkan 98 peratus daripada populasi buaya air masin telah hilang di wilayah Utara, didorong oleh permintaan kulit dan pemusnahan.

    Taman diasaskan dan diusahakan Webb sebagai tapak tarikan pelancong di samping tempat untuk memulihara buaya Australia dari pupus. – AFP
    Seekor buaya berukuran besar, mempunyai rahang yang meregang penuh sedang memerhati kawsan sekeliling. – AFP
    Kelihatan seekor buaya di dalam air sedang diberi makan daging. – AFP
    Pekerja di Taman Crocodylus sedang mencari buaya ketika dia mengemudi bot di lagun yang terletak di pinggir bandar Darwin, wilayah Utara. – AFP

    Menurut angka kerajaan sekarang, lebih 100,000 spesies buaya tersebut boleh membesar lebih daripada enam meter panjang dan berat lebih daripada 1,000 kilogram, memburu di sepanjang pantai, sungai dan tanah lembap di utara jauh benua itu.

    “Untuk memulihara pemangsa, awda perlu membina semula populasi haiwan tersebut, jika awda berjaya melakukan itu, ia kemudiannya akan mula memakan manusia semula, dan semua orang mahu menyingkirkannya.”

    Pakar buaya dari Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Charlie Manolis, berkata menjelang 1980an masyarakat secara jelas perlu melihat nilai sebenar spesis itu supaya dapat bertolak ansur dengannya sebagai ‘jiran’.

    Kempen keselamatan awam, yang dikenali secara tempatan sebagai Crocwise, dan pemindahan tetap pemangsa bergigi dari kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk telah membantunya untuk hidup bersama dengan lebih aman dengan pemangsa lainnya.

    Penuaian telur adalah sebahagian daripada program ‘penternakan’ di wilayah Utara yang mempunyai kaitan dengan industri kulit dan mata pencarian yang berkaitan secara langsung dengan haiwan itu, menurut rakan sekerja Webb dan Manolis.

    Di bawah skim itu, pemilik tanah kebanyakannya terdiri daripada Orang Asli Australia boleh menerima bayaran untuk telur yang dikutip daripada harta mereka, yang kemudiannya dibekalkan kepada ladang.

    Perdagangan kulit itu bergantung pada ladang yang dipenuhi dengan telur dan haiwan yang diperolehi dari alam liar, di mana 70,000 biji telur dan 1,400 ekor buaya dibenarkan diambil setiap tahun.

    “Terdapat agak ramai orang yang berkhidmat dengan buaya,” kata Webb, sambil menekankan kedua-dua industri pelancongan dan pertanian.

    Industri penternakan buaya telah dianggarkan bernilai lebih A$100 juta (AS$66 juta) setahun ke wilayah Utara, yang merupakan pengeluar kulit terbesar di Australia. Kulit yang dihasilkan sangat dihargai oleh jenama mewah seperti Hermes dan Louis Vuitton.

    Manolis berkata, walaupun sesetengah orang mengkritik strategi pengurusan untuk ‘menggunakan’ haiwan dan mengeluarkannya dari habitat liar, namun demikian kesalinghubungannya dengan industri telah membantu menyelamatkan spesies itu daripada pemusnahan besar-besaran.

    “Ia bukan tentang penternakan, penternakan adalah apa yang kami gunakan untuk memastikan habitat liar dipelihara,” katanya.

    “Saya berada di sektor perlombongan, kemudian saya menjadi seorang ibu, dan sekarang saya seorang penjaga buaya,” kata Jess Grills, 32, kepada AFP sambil tersenyum ketika dia menggerakkan bot melalui sungai buatan di Taman Crocodylus dekat Darwin.

    Taman itu, yang diasaskan oleh Webb, merupakan tarikan pelancong dan ‘syurga’ untuk ‘buaya bermasalah’ iaitu terdiri daripada haiwan yang telah dikeluarkan dari habitat liar kerana mendatangkan bahaya kepada penduduk tempatan atau membina tempat yang mudah untuk memakan ternakan.

    “Awda tidak boleh melatih buaya, tetapi awda boleh meletakkannya di tempat di mana ia tidak akan menimbulkan masalah,” katanya sambil secara rutin mengangkat sebahagian daging yang ditambat pada tiang panjang di tepi bot.

    Dia memukul air dengan umpan dan menggantungnya di atas.

    Muncung hijau gelap seekor ‘pemakan lembu’ yang dahulunya terkenal dengan panggilan Prince perlahan-lahan muncul, diikuti oleh mata reptilia yang membulat.

    Binatang itu menerkam dari atas permukaan air, rahangnya dibuka luas, sebelum giginya mengigit jauh ke dalam daging dan masuk kembali ke dalam air.

    Mesejnya jelas untuk penonton, ‘berhati-hati di sekitar tempat gergasi itu memburu dan tinggal.’

    “Awda sentiasa perlu membuat spekulasi bahawa terdapat buaya di dalam air, tidak kira apa pun,” kata Grills.

    Apabila populasinya berkembang pesat dan buaya yang lebih besar akan menjadi perkara biasa. Walaupun jarang berlaku serangan, berkemungkinan akan meningkat, kata Manolis.

    Menangani ketakutan yang berlaku ‘sejuta tahun’ sambil mengekalkan sokongan untuk pemuliharaan akan menjadi ‘cabaran terbesar,’ kata Manolis.

    Bagi Grills, peluang untuk mengagumi pemangsa secara dekat membantu mendapatkan sokongan untuk menyelamatkan haiwan itu.

    “Jika awda menghormati haiwan itu dan wilayahnya, saya tidak fikir ia akan menakutkan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda