Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Seramai 30 orang murid Taman Didikan Anak-anak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima sijil pelajar cemerlang serta hadiah pada majlis yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah Polis Gadong.
Majlis turut meraikan 48 orang pelajar yang menamatkan sesi persekolahan (KG2) bagi 2023.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Pengerusi PEKERTI, Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Yong.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan tarian dan nyanyian yang ditampilkan oleh murid-murid KG1 dan KG2 sebelum diakhiri dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah.


