Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Taman Eden Iraq kini seperti padang pasir

    HUWAIZAH MARSHES, IRAQ – Untuk memberi makan dan menyejukkan kerbaunya, Hashem Gassed terpaksa menyeberangi 10 kilometer tanah tandus akibat panahan matahari di selatan Iraq, di mana kemarau memusnahkan kawasan Mesopotamia Marshes.

    Taman Eden, tanah paya Iraq telah dilanda kemarau selama tiga tahun dan penurunan hujan yang rendah, serta mengurangkan aliran air di sepanjang sungai dan anak sungai yang berasal dari negara jiran Turki dan Iran.

    Hamparan luas Huwaizah Marshes yang dahulunya subur melintasi sempadan dengan Iran, telah mengering dan tumbuh-tumbuhannya menguning. Hamparan Chibayish Marshes yang popular di kalangan pelancong mengalami nasib yang sama.

    “Paya adalah mata pencarian kami, di mana kami pernah memancing di sini dan ternakan kami boleh meragut rumput dan minum,” kata Gassed, 35, dari sebuah dusun berhampiran Huwaizah.

    Tanah paya Iraq Selatan telah dikenali sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2016, kedua-duanya untuk kepelbagaian biologi dan sejarah purba mereka.

    Gambar menunjukkan tanah mengering dan tumbuhan menguning di Chibayish di wilayah Dhi Qar. – AFP
    Gambar bertarikh 27 Julai 2022 menunjukkan pemandangan bot di sepanjang tebing sungai di Hawiza Marshes berhampiran bandar al-Amarah di selatan Iraq. – AFP
    Kelihatan seorang wanita membawa kerbaunya ke tanah paya. – AFP

    Tetapi kini, dasar sungai mengering di sekeliling tanah lembap yang dahulunya menghijau, dan tasik Um al-Naaj di kawasan itu telah berubah menjadi lopak air berlumpur di antara tanah yang sebahagian besarnya kering.

    Seperti bapanya sebelum ini, Gassed menternak kerbau tetapi hanya lima daripada sekitar 30 haiwan keluarga yang tinggal. Yang lain mati atau dijual kerana keluarga bergelut untuk menampung kehidupan. Ahli keluarga mengawasi haiwan-haiwan yang ada dengan berhati-hati, khuatir haiwan yang lemah dan kurang makan mungkin jatuh ke dalam lumpur dan mati.

    “Kami telah memprotes selama lebih daripada dua tahun dan tiada siapa yang mendengar,” kata Gassed.

    “Kami tidak tahu ke mana hendak pergi. Kehidupan kami sudah berakhir.”

    Tiada lagi ikan

    Terletak di antara sungai Tigris dan Euphrates, paya Mesopotamia menderita di bawah bekas diktator Saddam Hussein, yang mengarahkan agar sungai itu dikeringkan pada tahun 1991 sebagai hukuman bagi masyarakat yang melindungi pemberontak dan untuk memburu mereka.

    Tanah lembap sekali-skala telah melalui tahun kemarau yang teruk pada masa lalu, sebelum disuburkan semula oleh musim hujan.

    Tetapi antara Ogos 2020 dan bulan ini, 46 peratus daripada tanah paya di selatan Iraq, termasuk Huwaizah dan Chibayish, mengalami kehilangan air keseluruhan, menurut organisasi pembinaan keamanan Belanda PAX.

    Sekitar 41 peratus lagi kawasan paya mengalami penurunan paras air dan kelembapan, menurut organisasi itu yang menggunakan data satelit untuk membuat penilaian.

    Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB di Iraq berkata tanah paya adalah “salah satu rantau termiskin di Iraq dan salah satu yang paling terjejas oleh perubahan iklim,” dan memberi amaran “paras air rendah yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.

    Pertubuhan itu menekankan ‘kesan buruk’ ke atas lebih 6,000 keluarga yang kehilangan kerbau dan aset kehidupan mereka yang unik selain biodiversiti juga berisiko.

    Tanah paya menjadi lokasi penting buat banyak populasi spesies terancam, dan merupakan titik perhentian penting bagi sekitar 200 spesies burung air yang berhijrah, menurut UNESCO.

    Aktivis alam sekitar Ahmed Saleh Neema berkata tiada lagi ikan atau bahkan subspesies memerang di paya.

    ‘Seperti padang pasir’

    Beliau berkata kawasan Huwaizah Marshes diairi oleh dua anak sungai Sungai Tigris, yang berasal dari Turki, tetapi alirannya telah menurun.

    Pihak berkuasa Iraq mencatu bekalan untuk menampung keperluan yang berbeza, katanya.

    “Kerajaan mahu mengekalkan kuantiti air sebanyak yang mungkin,” tambahnya sambil mengeluh perkongsian air yang tidak adil dan pengurusan (sumber) yang lemah.

    Selepas tekanan daripada penunjuk perasaan, pihak berkuasa membuka sebahagian injap, katanya, tetapi telah menutupnya semula. Di pihak Iran, Huwaizah Marshes, yang dipanggil Hoor al-Azim, juga menderita.

    “Tanah lembap itu menghadapi tekanan air dan pada masa ini kira-kira separuh daripada bahagian Iran telah kering,” lapor agensi berita Iran IRNA baru-baru ini.

    Hatem Hamid, yang mengetuai pusat pengurusan air kerajaan Iraq, berkata ‘di sebelah Iran, sungai utama yang memberi makan kepada Huwaizah Marshes telah dipotong sepenuhnya selama lebih setahun’.

    Keperluan air untuk ladang dan tanah paya Iraq hanya separuh dipenuhi, dia mengakui kerana pihak berkuasa memantau dengan teliti rizab dan cuba menampung pelbagai kegunaan, dengan air minuman salah satu ‘keutamaan’.

    Pegawai Iraq menunjukkan terusan dan sungai kecil yang telah dipulihkan untuk disalurkan ke dalam paya dan ke tempat beberapa keluarga telah berpindah dari kawasan kering. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...