Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Mahkota Jubli Emas tarik perhatian pengunjung, peniaga

    Oleh Haniq Raffael

     

    TAMAN Mahkota Jubli Emas yang terletak di tengah-tengah ibu negara, Bandar Seri Begawan sudah tentu menjadi identiti bandar ikonik yang mencerminkan satu pemandangan indah dan bertaraf dunia.

    Taman ini merupakan projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-10. Bagi mereka yang sudah mengunjungi atau yang baru hendak melihat keindahan Taman Mahkota Jubli Emas ini, pasti akan teruja apabila menyaksikan keindahan taman apatah lagi ianya ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok-pokok dan tanam-tanaman.

    Antara yang menarik dan unik ialah penanaman Pokok Boabab atau juga dikenali sebagai pokok botol kerana bentuknya yang menyerupai seperti sebiji botol dan diimport dari Australia serta boleh menjangkau jangka hidup sehingga 1000 tahun.

    Selain dihiasi dan dikelilingi dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan, taman ini juga menjadi tumpuan buat para penjaja tempatan untuk meraih rezeki dengan menjual pelbagai jenis makanan ringan dan menawarkan basikal atau beca yang menarik dan pelbagai untuk kemudahan orang ramai untuk menyewanya.

    Penulis berpeluang untuk mengunjungi taman tersebut dan berkesempatan untuk menemu bual beberapa orang peniaga di taman tersebut. Awang Mohd Nor Khairi bin Haji Hussin, dari Kampung Bunut mula melibatkan diri dalam berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 1999 dengan membantu kedua orang tuanya berniaga sayuran dan juga ikan.

    Taman Mahkota Jubli Emas dihiasi pelbagai jenis tanaman dan pokok dari negara luar.
    Awang Muhamad Shahlinie ketika mengawasi salah seorang kanak-kanak bermain di sekitar taman berkenaan.

    Bermula dari situlah timbul rasa minat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilannya sendiri yang bermula pada bulan Oktober 2017.

    Menurutnya lagi minat suka berniaga memang sudah wujud sejak dari kecil lagi dan perkhidmatan sewaan basikal untuk orang ramai khususnya di taman ini sedikit sebanyak akan memudahkan lagi para pelanggan untuk meneroka dan menelusuri lagi akan keindahan taman secara santai dan tenang.

    Walaupun masih bekerja namun ia tidak menghalang dirinya untuk menjalankan perniagaannya kerana ia dijalankan pada waktu selesai bertugas dan juga ketika musim cuti awam.

    “Untuk perancangan seterusnya saya akan terus berusaha untuk menambahkan lagi perniagaan saya untuk lebih di kembang majukan lagi di dalam sama-sama menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar rakyat dan penduduk di negara ini berusaha dengan melibatkan diri menjalankan perniagaan baik secara kecil-kecilan,” jelasnya lagi.

    Sementara itu, Awang Muhamad Shahlinie bin Haji Sarli yang juga merupakan salah seorang peniaga tempatan secara kecil-kecilan di Taman Mahkota Jubli Emas yang turut mencari rezeki sampingan di taman tersebut sejak bermula dari Bandarku Ceria menjelaskan di mana perniagaan yang dijalankan berupa alat permainan kanak-kanak bermula dari abang beliau iaitu Mohd Faisal bin Haji Sarli dan semangat untuk melibatkan diri dalam perniagaan ini juga didorong sepenuhnya oleh ibu mereka yang selalu memberikan kata-kata semangat untuk mencuba nasib di dalam bidang perniagaan walaupun hanya sekadar perniagaan kecil-kecilan.

    Jelasnya lagi perniagaan yang berupa alat permainan untuk kanak-kanak ini sedikit berbeza dengan perniagaan yang lain kerana lazimnya kanak-kanak akan ada selepas waktu bertugas dan juga semasa hari kelepasan awam seperti di hujung minggu bersama ibu bapa mereka.

    Terdedah dalam perniagaan

    Selain itu, bagi Awang Asri Taib, 43, berasal dari Lambak Kiri pula menjelaskan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan bukanlah bidang baru bagi diri beliau memandangkan beliau bersama dengan lapan adik beradik sudah terdedah dan dibesarkan dengan hasil pendapatan dari perniagaan kecil-kecilan yang telah dijalankan oleh ibunya.

    Sebuah keluarga santai berbasikal di Taman Mahkota Jubli Emas.
    Awang Mohd Nor Khairi menjalan-kan perniagaan kecil-kecilannya sendiri bermula Oktober 2017.

    Sebelum ini beliau memang bergiat aktif dalam perniagaan kecil-kecilan namun perniagaan itu hanya di buat semasa di bulan Ramadan sahaja, iaitu menjual minuman pelbagai jenis untuk juadah berbuka.

    Dari menjual berbagai minuman kini Awang Asri beralih minat kepada menyediakan khidmat penyewaan basikal dan juga beca.

    “Taman Mahkota Jubli Emas merupakan sebuah taman yang begitu indah, kondusif dan selamat serta ini sedikit sebanyak menarik orang ramai termasuk pelancong asing untuk berkunjung ke taman ini dan dari situ timbul lagi idea untuk menjalankan perkhidmatan sewaan basikal dan beca sekali gus menambah lagi bilangan-bilangan basikal yang sedia ada,” tambahnya lagi.

    Untuk perancangan di masa hadapan pula tambahnya ingin mendapatkan beca bersaiz besar dengan hiasan lampu neon dan berkuasa motor elektrik untuk ditawarkan kepada orang ramai yang berkeinginan untuk menelusuri persisiran Sungai Brunei bermula dari Dermaga Diraja sehingga ke Jambatan RIPAHS terutamanya pada waktu malam.

    Usahanya itu sedikit sebanyak cuba untuk mempertingkatkan lagi ekopelancongan di negara ini. Kebanyakan peniaga menyeru kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk dapat menyediakan lokasi yang sesuai dan selamat serta sempurna untuk para peniaga menjalankan perniagaan mereka selain itu memberikan keselesaan buat para pengunjung untuk beristirehat sambil menikmati hidangan makanan dan minuman serta dikelilingi dengan keindahan taman yang sedia ada.

    Dengan terbinanya taman yang indah ini, setentunya akan dapat memeriahkan lagi persekitaran Bandar Seri Begawan sekali gus mempromosikan taman tersebut sebagai lokasi untuk melakukan aktiviti gaya hidup yang sihat dan menyediakan platform bagi pembangunan ekonomi khususnya buat peniaga-peniaga tempatan.

    Justeru, kita selaku rakyat dan penduduk seharusnya bersyukur serta berbangga dengan kemudahan dan keindahan taman yang disediakan serta kita selaku rakyat di Negara Brunei Darussalam perlu menjaga dan memelihara khazanah bersejarah ini untuk kita kekalkan serta abadikan kepada generasi yang akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda