Monday, April 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman mini Shizuoka, taman terkecil di dunia

    SHIZUOKA, 27 APRIL – Sebuah ‘taman mini’ di Shizuoka, Jepun diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai taman terkecil di dunia, dengan keluasan hanya 0.24 meter persegi, cukup untuk memuatkan seorang duduk di atas bangku kayu di atas batu.

    Menurut agensi berita Kyodo, taman itu terletak di sudut kawasan perumahan di bandar Nagaizumi dan terdiri daripada susunan batu bata kecil yang ditinggikan, beberapa pokok renek berhampiran bangku serta dua monumen batu, termasuk satu yang memaparkan bunga simbolik bandar itu.

    Taman itu digelar sebagai ‘taman terkecil di dunia’ oleh penduduk tempatan dan berfungsi sebagai tempat berehat selama lebih 30 tahun dan telah diiktiraf secara rasmi oleh Guinness pada Disember tahun lalu.

    Terletak kira-kira 300 meter dari dewan bandar, taman berkenaan dibina pada 1988 menggunakan tanah lebihan daripada projek pembinaan jalan.

    Idea pembinaannya dicetuskan oleh seorang bekas pegawai bandar yang mendapat inspirasi daripada Mill Ends Park di Oregon, pemegang rekod sebelumnya dengan keluasan 0.29 meter persegi.

    Dengan sokongan penduduk, bandar Nagaizumi melancarkan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Guinness World Records pada 2023.

    Mereka berjaya mengumpulkan kira-kira 2.5 juta yen (AS$18,000) melalui bajet bandar, kutipan dalam talian, serta sumbangan sektor swasta untuk menampung kos berkaitan.

    Pihak bandar turut mengupah juruukur untuk mengesahkan ukuran tanah dan mengemukakan sijil membuktikan taman itu telah wujud lebih lima tahun.

    Sejak menerima pengiktirafan Guinness, taman itu menjadi tarikan pelancong dan menarik pengunjung dari luar Shizuoka.

    “Kami berharap taman ini menjadi peluang untuk mempromosikan bandar kami,” kata Shuji Koyama dari bahagian pengurusan pembinaan bandar itu. – Bernama/Kyodo

    Taman mini berkenaan. – GAMBAR DARI GUINNESS WORLD RECORDS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda