Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Negara Biebrza terbakar di Poland

    WARSAW, 21 APRIL – Kebakaran hutan besar telah memusnahkan kira-kira 400 hektar kawasan di Taman Negara Biebrza di timur laut Poland, menurut pihak berkuasa tempatan pada pagi Isnin, lapor Xinhua.

    Kebakaran yang bermula pada petang kelmarin di sempadan daerah Augustow dan Monki, wilayah Podlaskie itu telah merebak dengan pantas meskipun usaha pemadaman sedang giat dijalankan.

    Jurucakap Pemerintah Perkhidmatan Bomba Negeri Podlaskie, Justyna Klusewicz, memaklumkan kepada Agensi Berita Poland, kira-kira 180 anggota bomba, dengan sokongan perkhidmatan perhutanan, renjer taman dan tentera, turut bertungkus lumus untuk memadamkan api.

    Sepanjang malam, dron turut digunakan bagi memantau keadaan.

    Hari ini, pesawat pemadam termasuk helikopter disambung semula bagi menangani kebakaran di kawasan terpencil dan sukar bagi anggota penyelamat untuk masuk.

    Pusat Keselamatan Kerajaan mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk di wilayah Augustow, Grajewo dan Monki agar menjauhi kawasan terjejas serta mematuhi arahan pihak berkuasa kecemasan.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

    Taman Negara Biebrza yang terkenal dengan kawasan paya luas dan biodiversiti unik, merupakan diantara kawasan perlindungan alam sekitar paling penting di Poland. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda