Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Orkid Seremban tawar keindahan alam

    SEREMBAN, 30 DIS – Taman Orkid yang terletak di Jalan Keliling di sini bukan sahaja menyajikan spesies bunga orkid memukau, tetapi juga menawarkan keindahan alam yang menenangkan, sekali gus menjadikannya destinasi menarik untuk dikunjungi pencinta flora.

    Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Razali berkata pihaknya sentiasa melaksanakan pengindahan taman itu bagi memastikan pokok bunga berkenaan kekal segar dan tumbuh subur.

    “Kerja-kerja mengindahkan kawasan ini terus giat dilaksanakan, kita ada Jabatan Landskap yang bertanggungjawab untuk menjaga taman ini supaya sentiasa dipelihara dengan baik. Penjagaan termasuk baja dan sebagainya dilakukan secara berkala.

    “Kita juga sedang giat laksanakan promosi termasuk di media sosial. Memang ada kekangan parkir di kawasan itu, tetapi MBS sedang berusaha mencari alternatif,” katanya yang optimis pelbagai usaha promosi dan penambahbaikan fasiliti mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

    Beliau menganggarkan 100 pelawat berkunjung ke taman itu setiap bulan, dan jumlah kehadiran biasanya meningkat dengan ketara pada musim cuti sekolah.

    Masri berkata bagi penggemar bunga liar, taman itu menjanjikan keseronokan untuk melihat sendiri keindahan bunga orkid berkenaan dan sekiranya bernasib baik pengunjung berpeluang melihat bunga yang sedang mengembang seolah-olah ‘memanggil’ mereka untuk melihat lebih dekat.

    Berkeluasan lebih empat ekar (1.62 hektar) dengan topografi berbukit dan berteres, taman dengan lebih 11 spesies bunga orkid yang berwarna-warni termasuk Vanda, Mokara, Aranda, Arachnis dan Oncidium itu mampu menggamit pemandangan pengunjung yang mahu ‘lari’ sekejap daripada kesibukan kota. – Bernama

    Taman Orkid yang terletak di Jalan Keliling bukan sahaja menyajikan spesies bunga orkid memukau, tetapi juga menawarkan keindahan alam yang menenangkan, sekali gus menjadikannya destinasi menarik untuk dikunjungi pencinta flora. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda