KOTA KINABALU, 20 FEB – Sabah memanfaatkan potensi ekonomi biru melalui penubuhan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) di Kudat bagi memacu ekonomi dan pembangunan negeri, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata penubuhan BEIP diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Sabah pada minggu lepas yang akan mengubah bahagian utara negeri berkenaan khususnya Kudat sebagai bandar perindustrian baharu.
Katanya, BEIP juga berupaya menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.
“Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai sektor ekonomi biru termasuk perikanan, pelancongan marin, farmaseutikal, marikultur (penternakan tumbuhan dan haiwan akuatik marin) serta tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Penjawat Awam 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa.
Hajiji berkata pembangunan BEIP merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri Sabah di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang akan dilaksanakan dari tahun 2026 hingga 2030.
Beliau menegaskan pembangunan itu akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan tersebut.
Katanya inisiatif berkenaan menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam membangunkan sektor ekonomi biru sebagai sumber baharu ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Sabah. – Bernama
