Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Para penggemar riadah mendaki bukit atau hiking kini mempunyai satu lagi lokasi yang boleh diterokai bersama keluarga dan rakan-rakan selepas Taman Riadah Bukit Adin Bisa, Kampung Tanjung Nangka dirasmikan hari ini.
Perasmiannya disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arshad.
Menurut ahli Jawatankuasa Taman Riadah Adin Bisa, Haji Ali Hamzah bin Haji Mahmad, Bukit Adin Bisa merupakan trek hiking yang baru diusahakan oleh AJK Taman Riadah Bukit Adin Bisa.
Nama Adin Bisa diambil dari sejarah Telaga Adin Bisa itu sendiri, di mana kawasan berkenaan mempunyai tiga buah wasai dan satu telaga serta juga beberapa bukit.
Bagi menuju ke puncak bukit, dua trek telah disediakan yang mana trek pertama sejauh 3.8km merentasi tiga buah bukit, manakala trek kedua sejauh 5.1km yang menjadi trek paling ekstrem dan amat mencabar.


Menyentuh mengenai trek pertama, laluan tersebut agak santai dan kurang mencabar yang sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang baru berkecimpung dalam sukan lasak berkenaan.
Selain daripada aktiviti mendaki bukit, pengunjung juga berpeluang untuk menghayati keindahan alam semula jadi flora dan fauna, di samping pokok gaharu dan buah-buahan yang terdapat di sekeliling trek.
Mengenai keselamatan pula, beberapa bukit telah disediakan dengan check point tertentu dan juga beberapa laluan pintas untuk kecemasan.
Pendaki yang ingin menerokai Taman Riadah Adin Bisa dinasihatkan untuk membuat persiapan dari segi mental dan fizikal serta memastikan kesihatan yang baik, dan membawa bekalan seperti air, makanan ringan dan sebagainya.