Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Taman Riadah Bukit Kamser melalui penjenamaan semula, diberikan nama baharu dan dirasmikan semula dalam majlis perasmian semula di taman berkenaan di Kampung Serdang, Mukim Kota Batu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Semula Taman Riadah Bukit Kamser dan menyempurnakan perasmian serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kamser Climbathon ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pemangku Penghulu Mukim Kota Batu, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung Mukim Kota Batu, mantan-mantan ketua kampung dan pemangku ketua kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kota Batu, penduduk Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, pegawai dan kakitangan Passion Ku Enterprise serta para pemenang dan penerima hadiah Kamser Climbathon.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit berkata, taman riadah itu adalah hasil titik peluh dan usaha gigih sebilangan penduduk untuk memelihara serta menghasilkan sebuah taman riadah yang indah yang diberikan nama Taman Riadah Bukit Kamser.
Taman itu pada mulanya digelar Bukit Kampung Serdang dan pernah dibuka rasmi oleh Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara pada 2012.
Beliau menjelaskan bahawa taman riadah berkenaan merupakan taman persinggahan dan penghubung menuju ke taman-taman riadah yang lain termasuk Bukit Sipatir dan Bukit Bayu.
“Bukit Kamser juga merupakan lokasi persinggahan dan perlintasan bagi acara-acara perlawanan hiking yang diusahakan oleh beberapa penganjur terkemuka yang juga melibatkan peserta-peserta dari luar negeri.”
Beliau turut menyatakan bahawa perasmian semula berkenaan bermatlamat untuk mengenalkan taman riadah tersebut kepada umum, menyatupadukan dan mewujudkan masyarakat, khasnya penduduk mukim dan kampung untuk bekerjasama dan bersatu padu dalam memelihara taman riadah tanpa bergantung dengan bantuan pihak kerajaan serta mempelawa dan menarik pelancong asing untuk ikut serta melalui kegiatan sukan yang dianjurkan.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menarik penyertaan penduduk mukim dan kampung serta orang ramai untuk melibatkan diri dalam kegiatan sukan demi mencapai tahap kehidupan yang sihat dengan melakukan aktiviti riadah atau sukan.
Majlis diteruskan dengan perasmian yang disempurnakan oleh Awang Salminan yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi aktiviti Kamser Climbathon iaitu aktiviti mendaki secara berulang-ulang selama empat jam dalam dua kategori iaitu terbuka lelaki dan terbuka wanita yang dikendalikan bersama oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Serdang dan Passion Ku Enterprise.
Bagi kategori terbuka lelaki, tempat pertama disandang oleh Awang Ajman Azman Sudin yang mencatatkan sembilan pusingan dengan masa 3 jam 37 minit 10.34 saat, tempat kedua ialah Awang Hamizan Ahmadi yang mencatatkan lapan pusingan dengan masa 3 jam 33 minit 30.20 saat dan tempat ketiga ialah Awang Abdul Akim bin Haji Jalal yang mencatatkan lapan pusingan dengan masa 3 jam 34 minit 39.32 saat.
Bagi kategori terbuka wanita, tempat pertama disandang oleh Dayang Nurizzah Ashikin binti Abdullah Anggau yang mencatatkan tujuh pusingan dengan masa 3 jam 31 minit 58.82 saat, tempat kedua ialah Cecilia Maksimon yang mencatatkan tujuh pusingan dengan masa 3 jam 40 minit 50.36 saat dan tempat ketiga ialah Dayang Suraya binti Ismail yang mencatatkan enam pusingan dengan masa 3 jam 27 minit 30.47 saat.