Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Riadah Bukit Marikan, satu lagi tarikan mendaki bukit

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Riadah mendaki bukit atau hiking semakin popular dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini sebagai salah satu aktiviti sama ada untuk beriadah atau mengamalkan gaya hidup aktif yang sihat.

    Para penggemar kegiatan itu kini mempunyai satu lagi lokasi yang boleh diterokai bersama keluarga dan rakan-rakan selepas Taman Riadah Bukit Marikan, Kampung Tarap Bau di Mukim Lumapas dirasmikan hari ini.

    Hadir merasmikan taman riadah itu ialah Ketua Kampung Lupak Luas dan Tarap Bau, Haji Suhaili bin Haji Moktar yang turut menyertai kegiatan mendaki selepas perasmiannya.

    Trek Taman Riadah Bukit Marikan sejauh 2.8km atau lebih kurang sejam pendakian atau berjalan santai, mempunyai tiga check point dengan pemandangan indah sekitar kampung dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, diusahakan oleh para belia di kampung tersebut dan mendapat sokongan penduduk kampung, menurut salah seorang ahli jawatankuasa pengendaliannya.

    Dengan adanya usaha sebegini, ia dapat mengisi masa lapang para belia untuk melakukan perkara berfaedah berbanding melakukan aktiviti kurang sihat, selain memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat untuk melakukan aktiviti sihat tambahnya.

    Sejurus perasmiannya, lebih 18 orang ahli jawatankuasa Taman Riadah Bukit Marikan tersebut turut menyertai pendakian dan penerokaan ke bukit itu.

    Jawatankuasa taman riadah itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai yang ingin mendaki bukit tersebut agar peka dengan keadaan sekeliling, termasuk menjaga keselamatan, tingkah laku atau perbuatan yang boleh mendatangkan risiko.

    Antara pengunjung cilik yang mencuba trek di Taman Riadah Bukit Marikan yang baru dirasmikan.
    Ketua Kampung Lupak Luas dan Tarap Bau turut menyertai pendakian Bukit Marikan.
    Pengunjung bergambar ramai
    di jalan masuk ke Bukit Marikan yang diserikan dengan bendera kebangsaan dan bendera kecil berwarna-warni.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda