Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Aktiviti riadah mendaki bukit merupakan aktiviti yang terus menjadi pilihan bagi ramai pendaki bukit tempatan dengan bertambahnya kawasan riadah bukit diterokai bagi aktiviti riadah berkenaan.
Baru-baru ini, satu lagi tempat pendakian telah dirasmikan iaitu Taman Riadah Bukit Saeh, Lumapas yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir semasa acara pada 2 Januari lalu itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Lim Hock Guan dan Timbalan Pemerintah Cawangan Operasi D, ASFR Mohammad Sophian bin Haji Mohd Yusuff.
Bagi memastikan keselamatan para pendaki di taman riadah berkenaan serta untuk memberikan bantuan kepada yang memerlukan, seramai 11 orang ahli telah mengikuti Kursus Jungle Rescue Bukit Saeh di mana latihan itu di-selaraskan oleh SO Matassan bin Yussof dari Cawangan Operasi D dan latihan itu dijalankan selama tiga hari iaitu pada 6, 11 dan 13 Disember lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP di sini, hari ini.
Dalam kenyataan itu lagi, JBP menyarankan orang ramai khususnya para pendaki bukit supaya sentiasa mengutamakan keselamatan mereka dan membawa wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan mereka jika berlaku kecemasan, mengetahui kawasan yang hendak ditujui bagi mengelakkan tersesat, memastikan mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa, jangan mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini serta untuk memastikan mereka tahu akan kemampuan diri jika hendak mendaki bukit yang tinggi.
JBP turut menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.