Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taman Riadah Kg Belais jana pelancongan

    Oleh Ampuan Irma Susanti

     

    TEMBURONG, 2 Jan – Tahun 2016 telah mencatatkan jumlah tertinggi pengunjung yang menginap di pondok ‘Taman Riadah dan Memancing Kampung Belais dan Buda-Buda’, terutama sekali di musim cuti penggal persekolahan bulan Disember yang lalu.

    Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda, Haji Ahmad bin Mohd Hussein mengongsikan, kira-kira 1,500 orang pengunjung menginap di pondok berkenaan sepanjang bulan Disember yang terdiri bukan sahaja pengunjung dari dalam negeri malahan juga dari luar negara.

    Semasa ditemu bual baru-baru ini, beliau memberitahu bahawa ahli-ahli jawatankuasanya juga sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kemudahan dan menaik taraf bangunan masing-masing bukan saja untuk tempat memancing udang galah tetapi juga untuk bersantai bersama keluarga.

    Dua buah pondok akan dibina dan dijangka siap pertengahan tahun 2017 ini nanti, tambahnya.

    Kawasan memancing ini merupakan hasil kejayaan terbesar projek Anugerah Kampung Cemerlang apabila Kampung Belais dan Buda-Buda menjadi johan di peringkat daerah pada tahun 2005 dan menerima anugerah gangsa di peringkat kebangsaan ketika pertama kali ia diadakan.

    Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda menyatakan dua buah pondok lagi sedang dalam pembinaan untuk memenuhi keperluan pengunjung.
    Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda menyatakan dua buah pondok lagi sedang dalam pembinaan untuk memenuhi keperluan pengunjung.
    Aktiviti memancing udang galah sungai air tawar adalah satu cabaran berbanding memancing di kawasan perairan terbuka.
    Aktiviti memancing udang galah sungai air tawar adalah satu cabaran berbanding memancing di kawasan perairan terbuka.
    Awang Ahmad dari Kampung Bebatik Kilanas bermalam bersama 15 orang ahli keluarganya merasa berpuas hati menginap di sini.
    Awang Ahmad dari Kampung Bebatik Kilanas bermalam bersama 15 orang ahli keluarganya merasa berpuas hati menginap di sini.
    Pengunjung bergambar ramai bersama krew media RTB yang kebetulan membuat liputan di kawasan tersebut.
    Pengunjung bergambar ramai bersama krew media RTB yang kebetulan membuat liputan di kawasan tersebut.

    Berkat kerjasama dan kegigihan penduduk kampung yang mengusahakan pondok-pondok ini dengan modal sendiri akhirnya berbaloi, apabila ia menjadi destinasi utama pengunjung di setiap hujung minggu.

    Beberapa pemilik pondok juga memberitahu bahawa mereka menerima tempahan sejak November dan kini penuh sehingga awal Januari 2017 dan masih ada tempahan untuk percutian bulan Mac 2017.

    Selain suasana kampungnya yang asli dan hijau dengan air sungai yang mengalir sederhana, setiap pengunjung yang ditemui menyatakan kawasan ini merupakan lokasi paling sesuai untuk keluar daripada udara bandar yang sibuk.

    Dilengkapi dengan kemudahan asas yang komprehensif, pondok berkenaan sangat sesuai dijadikan untuk acara riadah memancing bersama keluarga atau kawan-kawan sambil berehat bagi yang tidak berpeluang melancong ke luar negara.

    Dua buah pondok yang masih dalam pembinaan.
    Dua buah pondok yang masih dalam pembinaan.

    Salah seorang pengunjung yang sempat ditemui, Awang Ahmad bin Haji Tudin, seorang pesara dari Kampung Bebatik Kulapis memberitahu, beliau datang bersama isteri, anak-anak, menantu dan cucu-cucu untuk mengambil peluang berkumpul dalam suasana yang berbeza daripada kesibukan bandar.

    Beliau melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan yang disediakan dan merasa seronok sekali walaupun hanya mendapat dua ekor udang galah, kerana bukan itu matlamat sebenar tetapi untuk lebih mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia ada.

    Kepuasan pengunjung merupakan satu keutamaan dan pihak jawatankuasa akan terus memperbaiki kekurangan yang ada memalui komen-komen membina daripada buku pelawat yang disediakan.

    Dengan harga yang sangat berpatutan, rasanya tidak rugi menghabiskan masa berharga percutian di samping membudayakan melancong di negara sendiri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda