Friday, May 3, 2024
28.3 C
Brunei

    -

    Taman sekolah bantu kanak-kanak terjejas

    SIEM REAP, KEMBOJA – Di antara tanaman sayur bayam di taman sekolah luar bandar Kemboja, kanak-kanak menguji kemahiran matematik mereka sambil menimbang hasil, tetapi apabila harga makanan meningkat, sayuran telah menjadi penyelamat untuk keluarga yang berdepan kesukaran.

    Sebelum sekatan COVID menjejaskan ekonomi, kekurangan zat makanan dan kemiskinan telah membelenggu golongan belia Kemboja, disebabkan oleh konflik dan ketidakstabilan yang berlaku berdekad-dekad berikutan pemerintahan pembunuhan beramai-ramai Khmer Rouge pada 1970an.

    Masalah keselamatan makanan bertambah buruk sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mencetuskan kekurangan global dan inflasi.

    Program Makanan Sedunia (WFP) berkata harga makanan asasi tempatan meningkat pada tahun lalu, yang mana telur itik meningkat lebih 20 peratus dan minyak masak hampir 40 peratus.

    Penjual mi Chhon Puthy, 31, telah kehilangan separuh pendapatannya semasa pandemik dan bimbang tentang kesihatan anak-anaknya.

    Seorang pelajar menyiram air ke atas sayur-sayuran di taman di sebuah sekolah di wilayah Siem Reap. – AFP
    Gambar menunjukkan para pelajar menyediakan sayuran untuk dimasak bagi program makanan percuma di sekolah. – AFP

    Program Makanan Sedunia (WFP) mengatakan harga makanan asasi tempatan telah meningkat pada tahun lalu, yang mana telur itik sebanyak meningkat lebih 20 peratus dan minyak masak hampir 40 peratus. – AFP

    “Kami ibu bapa kadang-kadang terpaksa mengurangkan catuan kami,” kata ibu kepada dua anak dari kampung Chrroy Neang Nguon, kira-kira dua jam dari Siem Reap.

    Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, keluarganya bergantung pada program taman dan sarapan pagi percuma di sekolah anak-anaknya untuk mengurangkan tekanan kewangan.

    “Masyarakat bergantung kepada makanan kerana setiap pagi ibu bapa sibuk bercucuk tanam dan tidak dapat memasak untuk anak-anak mereka,” katanya.

    Taman sebagai talian hayat

    Sekolah terpencil di wilayah Siem Reap menggunakan taman untuk mengajar murid kemahiran hidup seperti bercucuk tanam dan memasak.

    “Saya belajar tentang menanam sayur-sayuran, membuat baja organik, cara mengusahakan tanah,” kata Seyha yang berusia 12 tahun kepada AFP, sambil menambah bahawa pengetahuan itu telah membantu menambah baik kebun sayur keluarganya sendiri.

    Lebih daripada 1,000 buah sekolah di sekitar Kemboja mengikuti program makan yang disokong oleh WFP, dengan kira-kira 50 buah taman pembelajaran disediakan dengan bantuan daripada kumpulan hak asasi dunia, Plan International.

    Sebelum memulakan pengajian setiap hari, pelajar dihidangkan sarapan pagi percuma terdiri daripada nasi dan sup ikan dengan sayur-sayuran yang ditanam di taman tersebut.

    Long Tov, pengetua sekolah di Chroy Neang Nguon, berkata program taman dan makan membantu meningkatkan tahap tumpuan pelajar, ingatan dan keputusan ujian.

    “Ia (juga) mampu mengurangkan kadar keciciran sekolah,” katanya kepada AFP. Vireak, 12, berkata, dia gembira kerana menerima makanan di sekolah bersama rakan sekelasnya. “Saya berasa lebih sihat dan lebih bijak dan saya boleh belajar dengan lebih mudah berbanding sebelum ini,” katanya.

    Kesan

    Malnutrisi merugikan ekonomi Kemboja lebih daripada AS$400 juta setahun, kira-kira 2.5 peratus daripada KDNK menurut kajian yang disokong oleh UNICEF.

    Negara itu telah mencapai kemajuan dalam menangani isu tersebut – kekurangan zat makanan kronik dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun jatuh daripada 32 peratus pada 2014 kepada 22 peratus tetapi terdapat kebimbangan bahawa inflasi boleh menghentikan momentum.

    “Kenaikan harga makanan berkemungkinan memburukkan lagi tahap kekurangan zat makanan kanak-kanak yang sudah tinggi, sama seperti negara itu mula menunjukkan tanda-tanda pulih daripada kesan ekonomi wabak itu,” kata pejabat Pemakanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Kemboja dalam satu kenyataan.

    Di Hospital Angkor untuk Kanak-kanak di Siem Reap, ketua pasukan pemakanan Sroeu Phannsy memberitahu AFP bahawa beberapa keluarga miskin terpaksa mengurangkan susu formula, yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan anak damit.

    Dalam usaha untuk menentang kekurangan zat makanan, dia telah membawa pasukan pekerja kesihatannya ke kawasan terpencil, di mana mereka merawat kanak-kanak dengan snek tenaga yang sedia untuk dimakan.

    “Kami bimbang tentang pertumbuhan mereka pada masa hadapan, terutamanya perkembangan otak mereka akan menjadi lemah apabila mereka bersedia untuk pergi ke sekolah pada usia lima atau enam tahun,” katanya.

    Kanak-kanak yang tidak menerima nutrien yang mencukupi boleh mengalami IQ yang rendah, buta, pertumbuhan terbantut dan lemah sistem imun.

    Kembali ke taman pembelajaran, seorang guru menunjukkan kelas sayur-sayuran yang sedia untuk dituai.

    “Di taman pembelajaran, kami gembira dan belajar kemahiran penting… Di rumah saya menanam morning glory, timun, kacang dan tomato,” kata Vireak. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi perisik Seoul beri amaran kepada Korea Utara

    SEOUL, 3 MEI - Agensi perisik Korea Selatan berkata hari ini bahawa Pyongyang sedang merancang serangan pengganas yang menyasarkan pegawai dan rakyat Seoul di...