Taman tema Australia didenda jutaan dolar atas kematian pelanggan

BRISBANE, AUSTRALIA, 28 SEPT – Pemilik taman tema terbesar di Australia didenda Aus$3.6 juta (AS$2.5 juta) hari ini atas kegagalan keselamatan yang menyebabkan kematian empat orang yang menaiki permainan air popular pada 2016.

Dua wanita dan dua lelaki maut apabila rakit yang mereka naiki dalam permainan Thunder River Rapids di Dreamworld di Gold Coast berlanggar, menyebabkan pihak pendakwa memfailkan tiga pertuduhan terhadap pemiliknya, Ardent Leisure, pada Jun lalu.

Mahkamah Queensland mendapati syarikat tersebut telah melanggar undang-undang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta boleh dikenakan denda maksimum sehingga Aus$4.5 juta.

Ardent Leisure dalam kenyataan kepada Bursa Sekuriti Australia berkata, ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian itu dan memohon maaf ‘tanpa syarat.’ Ahli lembaga pengarah dan eksekutif syarikat turut merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa tragedi itu.

Syarikat itu yang turut berdepan kritikan selepas cuba membuka taman tema itu sebelum urusan pengebumian berkata, kepimpinan baharu sudah pun merombak dan membaiki prosedur keselamatan di taman tema itu.

Ardent Leisure berkata, pihaknya juga sudah memberikan ganti rugi kepada kebanyakan keluarga mangsa, responden pertama dan mana-mana pihak yang terkesan akibat tragedi itu, selain berusaha menjelaskan tuntutan yang belum selesai. – AFP