Menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa anak tercinta, pelakon Tamara Tyasmara tetap menyediakan juadah istimewa serta baju raya baharu buat Dante yang meninggal dunia pada hujung Januari lalu.
Bagi Tamara, 29, biarpun sambutan kali ini berbeza, namun dia tidak mahu melupakan tradisi yang biasa dilakukan bersama anaknya itu, dedah mStar.
“Kata orang, ketika hari raya roh orang yang meninggal dunia akan pulang ke rumah. Semoga roh anak saya juga akan pulang.
“Dia (Dante) suka makan kuih coklat yang berisi kacang… saya sudah siapkan. Mungkin dia akan suka nanti.
“Setiap tahun kami akan pakai baju sama seperti kembar. Itu juga sudah saya siapkan… cuma tahun ini baju tersebut tidak dipakai,” katanya.
Menjadi amalan ramai orang, Tamara juga meluangkan masa menzirahi pusara Dante pada 1 Syawal bersama ahli keluarga yang lain.
“Sambutan raya tahun ini amat berbeza. Biasanya saya dan Dante akan ziarah pusara bapa. Tetapi kali ini saya ziarah pusara anak,” jelasnya.
Allahyarham Dante meninggal dunia pada 27 Januari lalu di sebuah kolam renang dipercayai mati lemas. – Agensi