Tuesday, July 15, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tambah baik dasar kerajaan hadapi cabaran era baharu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jul- Dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk sentiasa terpelihara, Negara Brunei Darussalam semakin rancak melaksanakan inisiatif-inisiatif keutamaan di bawah ketiga-tiga pelan Wawasan Brunei 2035 iaitu Blueprint Tenaga Manusia, Sosial dan Ekonomi yang mampu mendatangkan impak besar.

    “Beta menyedari bahawa dalam era baharu yang penuh mencabar, amatlah penting bagi kita meneliti dan menyesuaikan kaedah-kaedah serta pendekatan kerja yang selaras dengan perubahan landskap sosial dan keperluan semasa.”

    “Maka ke arah itu, Kerajaan Beta telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap dasar dan undang-undang sedia ada. Beta telah memperkenankan bagi Perintah Kanun Tanah (Pindaan) 2025 untuk mula berkuat kuasa pada 1 Ogos yang akan menambahbaik dan memudahkan proses pemilikan tanah bagi rakyat dan beberapa kategori penduduk di Negara Brunei Darussalam termasuk mereka yang berstatus stateless.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengetengahkan usaha ke arah memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk sentiasa terpelihara dalam Titah Baginda Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-79 di Istana Nurul Iman, hari ini.

    “Kerajaan Beta juga sedang merangka ‘Digital Brunei Transformation Plan’ yang akan mengetengahkan potensi Artificial Intelligence (AI) dalam agenda transformasi negara pelbagai sektor. Beta telah memperkenankan Perintah Perlindungan Data Peribadi (Personal Data Protection Order 2025) untuk berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 dengan matlamat untuk mengelakkan risiko penyalahgunaan dan sebarang bentuk ancaman melalui saluran siber demi melindungi kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini.”

    Dari sudut ekonomi, Baginda Sultan bertitah kerajaan baginda juga telah memperluaskan pelaksanaan Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) kepada tujuh industri tambahan bermula 1 April 2025.

    “Ini termasuk sektor-sektor perbankan dan kewangan, teknologi dan info-komunikasi (ICT), sekuriti, pelancongan dan penginapan, arkitek, kejuruteraan profesional, ukur bahan dan ukur Tanah, perubatan dan pergigian dan pendidikan tinggi swasta.”

    Sementara itu, dalam peningkatan kemahiran pula, Baginda bertitah akan terus diperkembangkan menerusi penawaran 16 kursus baharu di bawah Program SkillPlus yang disesuaikan dengan keperluan industri dan pasaran semasa.

    “Beta berharap para belia khususnya akan mengambil peluang ini untuk terus maju, membina kemahiran baharu dan menjadi pemimpin masa depan yang berdayatahan.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah di Istana Nurul Iman hari ini.- GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda