Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tambah baik perkhidmatan kehakiman Syariah

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mahkamah-mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyertai Persidangan Kehakiman Syariah Antarabangsa Tahun 2021 (PKA 2021) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Mahkamah Syariah Negeri Melaka itu membawa tema Ke Arah Keseragaman dan Keselarasan: Pendekatan Prinsip Duluan Mengikat dalam Alasan Penghakiman.

    Persidangan secara dalam talian tersebut berlangsung di Tingkat 2, Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah dan dihadiri oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhamad; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Hassan bin Haji Metali; Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Tuan Hakim Haji Ali-Bolkiah bin Haji Mohd Diah.

    Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan ucaptama persidangan disampaikan oleh Presiden Supreme Judiciary Council, The State of Qatar, Dr Hassan bin Lahdan Alhassan Almohannadi dan Presiden Mahkamah Rayuan, Yang Amat Arif Tan Sri Rohana binti Yusuf.

    Kenyataan menyatakan, persidangan ini melibatkan pembentangan daripada wakil negara di peringkat antarabangsa seperti Australia, Republik Maldives, Papua New Guinea, Palestin, Republik Yaman dan Qatar.

    Manakala peserta jemputan terdiri daripada pegawai syariah di seluruh Malaysia dan jemputan dari negara-negara Nusantara iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura yang mengikutinya secara dalam talian.

    Antara objektif persidangan adalah bagi merapatkan hubungan kerjasama antara negara-negara Nusantara dan antarabangsa serta menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah berdasarkan pengalaman terkini negara-negara di peringkat antarabangsa yang boleh dimanfaatkan secara kolektif khususnya setelah pandemik COVID-19 pada 2020.

    Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim semasa menghadiri persidangan secara maya berkenaan. – Gambar serahan Mahkamah Rayuan Syariah
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda