Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Isu permohonan skim bantuan kebajikan, khususnya kepada golongan asnaf perlu diberikan perhatian di mana proses permohonan yang sedia ada masih dianggap lambat dan membebankan terutama apabila pemohon terpaksa mengulangi pengisian borang walaupun data mereka telah tersedia dalam sistem.
Ke arah itu, beberapa cadangan ke arah penambahbaikan boleh dipertimbangkan termasuk memperkenalkan Kad Keahlian Skim Kebajikan Negara SKN di mana pemohon yang telah berdaftar boleh diberikan kad keahlian yang mengandungi maklumat asas mereka, sekali gus memudahkan proses pengesahan identiti dan rekod permohonan terdahulu.

Cadangan itu dibentangkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dalam perbahasan Usul Penangguhan semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz turut mencadangkan bagi sistem digital bersepadu dan mesra pengguna di mana sistem permohonan bantuan dinaiktarafkan ke arah platform digital yang lebih efisien dan mesra pengguna, dengan kemudahan auto-fill untuk data sedia ada serta pengemaskinian maklumat secara berkala, tempoh pembaharuan awal di mana pembaharuan permohonan boleh dibuka seawal tiga bulan sebelum bantuan tamat.
Hal ini adalah supaya pemprosesan dapat dilakukan lebih awal tanpa mengganggu kesinambungan bantuan kepada penerima, selain pemantauan dan penilaian berkala dengan mewujudkan pasukan pemantau khas bagi menilai keberkesanan proses permohonan dan mengenal pasti sebarang kelewatan atau halangan di peringkat pelaksanaan serta khidmat sokongan dan bantuan pengguna dengan menyediakan saluran komunikasi seperti talian khas atau pusat khidmat pelanggan bagi membantu pemohon yang mengalami kesulitan ketika mengisi permohonan secara dalam talian.
Selain itu, tambahnya, program-program bimbingan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan penerima bantuan kebajikan wajar sentiasa ditambah baik daripada segi keberkesanannya.
“Ini penting agar mereka bukan sahaja bergantung kepada bantuan semata-mata, tetapi mampu mencapai kejayaan yang berkekalan dan berdikari dalam jangka panjang.”
Dalam hubungan itu, beliau mencadangkan beberapa program yang boleh dipertimbangkan iaitu program keusahawanan sosial dengan menyediakan latihan keusahawanan asas, pembinaan produk, pengurusan kewangan dan pemasaran bagi membolehkan peserta menjana pendapatan sendiri.
Di samping itu, mereka juga diberi latihan kemahiran dan vokasional menerusi kursus jangka pendek dalam bidang seperti menjahit, memasak, membaiki kenderaan, teknologi asas, pertanian moden dan sebagainya mengikut minat dan keupayaan peserta.
Dalam pada itu juga, program literasi kewangan di mana bimbingan mengenai cara mengurus bajet isi rumah, menabung dan membuat keputusan kewangan bijak supaya bantuan yang diterima dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya serta mentor rakan sebaya (Peer Mentorship) dengan menyediakan bimbingan dan sokongan berterusan daripada bekas penerima bantuan yang telah berjaya berdikari untuk membimbing peserta baharu.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz turut mencadangkan bagi program transformasi kehidupan (life coaching) menerusi sesi motivasi, pembangunan sahsiah dan kesedaran diri untuk membina keyakinan, jati diri dan semangat untuk keluar daripada kemiskinan.
Manakala, program penempatan pekerjaan bersasar menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penerima bantuan yang layak melalui skim insentif khas serta inisiatif “graduasi dari bantuan” iaitu sebuah sistem di mana penerima bantuan dipandu secara berperingkat untuk keluar daripada kebergantungan bantuan dengan penilaian berkala terhadap kemajuan mereka.
Usaha-usaha itu, tambahnya, adalah sejajar dengan aspirasi utama Rangka Tindakan Sosial Negara Brunei Darussalam iaitu ke arah mewujudkan rakyat yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan serta mampu keluar daripada kebergantungan kepada bantuan semata-mata.

