Tambah pengetahuan tugas imam, bilal

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Bagi memberikan peluang kepada para pegawai masjid untuk menambah luaskan pengetahuan dalam hal ehwal berkaitan dengan tugas imam dan bilal, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait telah mengadakan Bengkel Kaifiat Ketika Menjadi Muazin dan Mengimam bagi Pegawai-pegawai Masjid Daerah Belait yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.

Bengkel yang disertai oleh 25 orang imam dan bilal di seluruh masjid dan surau di daerah tersebut telah dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Beliau semasa bengkel itu, antara lain menyentuh mengenai kepentingan untuk meningkatkan ilmu dalam tugas sebagai imam dan bilal ketika menjalankan peranan masing-masing.

“Keperluan ini adalah bagi menjamin kualiti seseorang pegawai tersebut yang menjadi contoh kepada masyarakat (khususnya jemaah yang menunaikan solat di masjid-masjid berkenaan),” tambahnya.

Melalui bengkel ini, ia dihasratkan akan dapat melahirkan pegawai masjid yang boleh menjadi contoh kepada jemaah lainnya dan seterusnya dapat melahirkan kebolehpercayaan kepada pihak jabatan dan kementerian.

Haji Haslan ketika mengendalikan bengkel yang dihadiri oleh imam-imam dan bilal.
Beberapa sesi praktikal yang ditunjukkan semasa bengkel tersebut.